KAMPAR - Bancian menyeluruh terhadap aktiviti pertanian di Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang, Malim Nawar di sini akan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan punca gangguan lalat.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, bancian kawasan sekitar 40 hektar melibatkan tanaman kontan dan kelapa sawit itu dilaksanakan Jabatan Pertanian dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi mengenal pasti jumlah pengusaha pertanian serta jenis tanaman yang diusahakan.
Menurutnya, selain dikelilingi kawasan tanaman pertanian yang luas, beberapa aktiviti lain seperti penternakan ayam dan kolam ikan turut diusahakan di sekitar penempatan kampung terbabit.
"Bancian itu nanti antara lain untuk kita kenal pasti kaedah pengurusan baja yang digunakan petani, termasuk kemungkinan ketidakpatuhan terhadap prosedur pemprosesan tinja sebelum dijual.
"Kita khuatir kemungkinan ada petani menggunakan tinja ayam mentah sebagai baja kerana harganya lebih murah, namun perkara ini perlu disiasat terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas meninjau aduan penduduk berhubung gagguan lalat di kawasan berkenaan pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, berdasarkan pengalaman di kawasan lain yang berdepan isu sama, kaedah pembajaan yang betul mampu membantu mengatasi masalah gangguan lalat.
Katanya, berdasarkan semakan yang dilakukan, aktiviti pertanian di kawasan berkenaan dijalankan secara sah, membabitkan tanah milik persendirian, tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) serta tanah kerajaan.
"Kita mahu semua pihak bekerjasama kerana masalah ini menjejaskan kehidupan harian penduduk," katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang berdepan gangguan lalat berlarutan sehingga menjejaskan rutin harian, kebersihan makanan dan keselesaan di kediaman masing-masing.
Masalah yang dikatakan semakin ketara sejak beberapa bulan lalu itu turut memberi kesan kepada peniaga makanan apabila pelanggan dari luar semakin kurang singgah, selain menyukarkan penduduk mengadakan kenduri dan jamuan di rumah sendiri.