Peluang pekerjaan punca kehadiran warga asing di Janda Baik

Iklan
Antara warga Indonesia yang ditahan dalam Ops Taring Delta di kawasan kebun sayur berhampiran Kampung Lurau Hulu Chemperoh, Kampung Janda Baik, Bentong April lalu.

BENTONG – Peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, pertanian dan perniagaan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada kehadiran warga asing di Janda Baik, Pahang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, situasi itu secara tidak langsung membuka ruang kepada kegiatan penggajian dan penempatan warga asing secara tidak sah di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

“Sektor pelancongan yang melibatkan resort, chalet dan premis penginapan merupakan antara aktiviti ekonomi setempat yang berpotensi membuka ruang kepada penggajian warga asing secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zakaria berkata, keadaan itu mendorong Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di kawasan terbabit.

Iklan

“JIM Pahang telah melaksanakan operasi pada 24 April lalu melibatkan pemeriksaan di lapan lokasi.

“Hasil operasi tersebut, seramai 82 individu diperiksa dan 38 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, usaha penguatkuasaan akan diteruskan menerusi pemantauan, risikan dan operasi yang dipertingkatkan berdasarkan maklumat serta aduan yang diterima.

“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Ops Taring Delta -Tujuh pekebun sayur warga Indonesia ditahan

Menurut beliau, penguatkuasaan berasaskan risikan akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), malah majikan, pemilik atau pengendali premis serta mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis di bawah kawalan mereka.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 55B dan Seksyen 55E mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, JIM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa berkaitan menerusi perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“JIM juga menghargai kerjasama penduduk setempat dan persatuan penduduk dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.

“Maklumat yang tepat dapat membantu JIM membuat pengesahan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mendedahkan orang awam kepada sebarang risiko,” katanya.