SHAH ALAM – Pengumuman pakej bernilai RM160 juta yang dibiayai secara bersama oleh kerajaan dan Grab menimbulkan persoalan sama ada pemandu yang menggunakan platform e-hailing berlesen lain turut berpeluang menikmati manfaat sama.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, pihaknya mempunyai ribuan pemandu di seluruh negara, sekali gus mencerminkan kehadiran dan pengaruh platform itu yang semakin meluas dalam pasaran tempatan.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya bantuan dan sokongan kerajaan dapat dinikmati oleh semua pemandu yang layak dalam industri e-hailing, bukannya terhad kepada pemandu di bawah platform tertentu sahaja.
Bagaimanapun, inDrive Malaysia menyambut baik komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh jaminan pendapatan dan perlindungan sosial pekerja gig di negara ini, khususnya pemandu e-hailing.
“Seiring dengan pengenalan program bantuan baharu, kami berpandangan bahawa sokongan kerajaan bagi insurans, jaminan pendapatan dan perlindungan sosial mesti berlandaskan syarat kelayakan yang telus serta inklusif.
“Ia bagi memastikan semua pemandu yang layak mendapat peluang yang sama untuk menerima manfaat tanpa mengira platform e-hailing berlesen yang digunakan.
“Bagi inisiatif yang melibatkan kerjasama dengan pengendali platform tertentu, kami berharap peluang kerjasama seumpamanya turut dapat diteroka bersama pengendali lain dalam industri supaya bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai pemandu yang layak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Azlan berpendapat pendapatan pemandu yang mampan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.
Menurut beliau, perkara yang lebih penting ialah jumlah pendapatan bersih yang benar-benar dibawa pulang selepas mengambil kira kos operasi seperti bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan insurans.
Jelasnya, kerangka pendapatan minimum yang dicadangkan perlu mengambil kira realiti tersebut di samping mengekalkan fleksibiliti yang membolehkan rakyat menjana pendapatan melalui ekonomi gig mengikut keperluan masing-masing.
Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya turut menyambut baik insentif tambahan caruman padanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta sokongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berpotensi membantu pekerja gig memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang.
Namun, beliau menegaskan keberkesanan langkah itu bergantung kepada kejelasan syarat kelayakan, kaedah caruman yang mudah diakses serta pelaksanaan yang mengambil kira keadaan pemandu dengan tahap pendapatan yang berbeza.
“Ini termasuk mereka yang memandu secara sambilan atau menggunakan lebih daripada satu platform.
“Justeru, inDrive menggesa penjelasan lanjut mengenai syarat kelayakan bagi pakej RM160 juta tersebut, termasuk sama ada peluang seumpamanya turut ditawarkan kepada pengendali e-hailing berlesen lain dan pemandu mereka.
“inDrive sedia bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam industri bagi mencapai matlamat bersama ini,” ujarnya.