Fiesta Wakaf MAINPP kutip RM333,741, semarak budaya berwakaf

Iklan
Mohamad (tengah) ketika majlis perasmian Fiesta Affin Islamic International Wakaf Fund Run 2026

BATU KAWAN - Fiesta AFFIN Islamic International Wakaf Fund Run 2026 anjuran Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Wakaf MAINPP) berjaya mengumpulkan RM333,741.17 menerusi kutipan wakaf tunai, sekali gus menyemarakkan budaya berwakaf dalam kalangan masyarakat.

Berlangsung pada 10 dan 11 Oktober di Masjid Ar-Rayyan, Bandar Cassia, dengan kerjasama AFFIN Islamic Bank Berhad, fiesta itu merekodkan kehadiran terkumpul seramai 5,200 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran.

Iklan
Iklan

Fiesta berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, pada malam pertama penganjuran.

Mohamad (kanan) ketika hadir merasmikan fiesta yang menghimpunkan 5,200 pengunjung sepanjang dua hari di Batu Kawan.

Iklan

Beliau berkata, usaha memperkasa institusi wakaf penting dalam menyokong pembangunan sosioekonomi umat Islam, khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dan visi Penang2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd Shariff berkata, penganjuran fiesta itu membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami konsep wakaf dengan lebih dekat serta menggalakkan penyertaan orang ramai mengikut kemampuan masing-masing.

Iklan

“Kita mahu mengubah persepsi bahawa wakaf hanya berkaitan penyerahan tanah atau aset bernilai besar. Hakikatnya, setiap individu mampu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Dari segi penyertaan, Wakaf Fund Run menerima 2,278 pendaftaran dengan 2,016 peserta hadir menyertai larian. Sembilan pertandingan dan aktiviti lain pula merekodkan 1,145 penyertaan, manakala program Subuh Seramai Jumaat menghimpunkan 671 jemaah.

Mohsin.

Kempen itu turut menarik 84 pewakaf autodebit baharu, menjadikan jumlah keseluruhan pewakaf autodebit aktif seramai 585 orang dengan kutipan bulanan RM13,259. Kempen media sosial pula mencapai 791,819 pengguna.

Dalam usaha memperluas akses kepada wakaf digital, Wakaf MAINPP memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan ToyyibPay Sdn Bhd dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain melancarkan Portal One Wakaf MAINPP bagi memudahkan urusan wakaf tunai secara dalam talian.

Fiesta itu turut menyaksikan perasmian Solar Dome Dryer Sungai Chenaam menerusi inisiatif AIBIM dan AFFIN Islamic Bank dengan penglibatan Wakaf MAINPP. Kemudahan tersebut memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya pengusaha ikan kering.

Malam Perasmian Fiesta Affin Islamic International Wakaf Fund Run 2026 diserikan dengan pengisian Bicara 2 Mufti: Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Penganjuran itu turut dimeriahkan dengan penyertaan peniaga Halal Foodie, pempamer daripada pelbagai agensi serta pelbagai aktiviti berteraskan sukan, ilmu dan kekeluargaan.

Fiesta berkenaan diakhiri dengan Malam Gema Ummah yang membawa konsep “Berhibur Sambil Berwakaf” menerusi persembahan qasidah, selawat dan nasyid.

Wakaf MAINPP berharap penganjuran seumpama itu dapat diteruskan bagi memperkukuh kerjasama strategik, memperluas penyertaan masyarakat dan memastikan manfaat wakaf terus menyumbang kepada kesejahteraan ummah serta generasi akan datang