Pelaksanaan gaji minimum wujudkan jurang bayaran pekerja

Iklan
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 akan mewujudkan jurang bayaran susulan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengecualian tersebut menyebabkan pekerja syarikat besar menikmati gaji minimum RM2,000, manakala pekerja PMKS kekal menerima RM1,700.

Iklan
Iklan

"Kerajaan mengecualikan PMKS kerana mereka tidak mampu membayar RM2,000. Tetapi apa yang akan dilakukan oleh pekerja PMKS? Dia akan berhenti dan melintas jalan ke syarikat yang akan membayar RM300 lebih.

"Maka pemilik kedai, bengkel dan kilang kecil hanya ada dua pilihan. Membayar RM2,000 juga, walaupun kerajaan sendiri mengaku mereka tidak mampu atau kehilangan pekerja.

Iklan

"Jadi pengecualian itu hanya wujud di atas kertas. PMKS tetap menanggung kosnya, cuma tanpa bantuan," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027, di Dewan Rakyat pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwae Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027, Jumaat lalu memaklumkan, kenaikan gaji minimum merupakan antara langkah kerajaan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan.

Iklan

Selain itu kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Sementara itu Hamzah yang juga Ahi Parlimen Larut mencadangkan Dana Insentif PMKS disalurkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu majikan kecil menaikkan gaji pekerja seiring peningkatan produktiviti.

"Dana itu bukan pemberian percuma. Ia insentif bersyarat, majikan yang menaikkan gaji, melatih pekerja dan melabur dalam automasi layak menerimanya," ujarnya.