SHAH ALAM - Sebanyak 25 negara telah mengesahkan penyertaan dalam Selangor Techsphere Summit 2026 (STS 2026), anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), yang akan berlangsung buat kali kedua di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bermula 14 Oktober ini.
Ketua Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid berkata, lebih 33 syarikat telah mengesahkan penyertaan dalam STS 2026, sekali gus menunjukkan peningkatan yang menggalakkan berbanding penganjuran pada tahun 2025.
“Pada STS 2025, sebanyak 21 syarikat telah terlibat sebagai pempamer. Kali ini, jumlah tersebut meningkat kepada 33 syarikat terkenal dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh STDC pada Ahad.
STS 2026 merupakan sebahagian daripada Selangor International Business Summit 2026 (SIBS 2026), yang menggabungkan persidangan teknologi, pameran industri dan peluang jaringan perniagaan antarabangsa dalam satu platform.
Menurut Dr Harizal, antara syarikat dan organisasi teknologi antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan ialah BMW Group, Google, Festo dan KNX Association.
Bertemakan “Where Industry, Technology and Government Connect”, STS 2026 menyediakan platform yang menghubungkan pemain industri, penyedia teknologi, jurutera, pelabur, pemimpin perniagaan dan agensi kerajaan untuk meneroka penyelesaian teknologi yang membentuk masa depan industri serta pembuatan termaju.
Beliau berkata, STS 2026 terus diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan Deutsche Messe, organisasi di sebalik Hannover Messe, bagi tahun kedua berturut-turut.
Hannover Messe merupakan antara pameran perdagangan teknologi perindustrian terbesar dan terkemuka di dunia. Acara tahunan bertaraf global itu berlangsung di Hanover Exhibition and Trade Center, Hanover, Jerman.
Pameran tersebut menjadi platform penting untuk mengetengahkan inovasi, memacu transformasi industri serta mempertemukan pembuat keputusan dan pakar teknologi dari seluruh dunia.
Dr Harizal turut berkata, SIBS 2026 menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung, termasuk dari Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Australia, Britain, Kanada, New Zealand, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Menerusi penganjuran SIBS 2026 dan STS 2026, Kerajaan Negeri Selangor melalui STDC berhasrat memperkukuh hubungan antara kerajaan, industri dan penyedia teknologi bagi menyokong pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekosistem industri serantau.
“Sepanjang empat hari penganjuran, STS 2026 akan menghimpunkan perbincangan dan perkongsian berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, semikonduktor, tadbir urus, pembangunan bakat serta TVET 4.0 dalam satu platform,” katanya.