BELANJAWAN 2027 telah pun dibentangkan pada 9 Oktober lalu dan ia boleh disifatkan sebagai sebuah belanjawan yang pragmatik.
Ia mengambil pendekatan seimbang antara keperluan mengekalkan disiplin kewangan kerajaan, menjaga kebajikan rakyat serta memastikan sektor perniagaan terus berkembang dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Dari sudut pengurusan kewangan negara, komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 berbanding 3.6 peratus pada 2026 memperlihatkan kesungguhan dalam meneruskan agenda konsolidasi fiskal.
Langkah ini penting bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan, nisbah hutang kekal stabil serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kerajaan mengurus ekonomi secara berhemah.
Namun, disiplin fiskal tidak seharusnya diterjemahkan sebagai pengurangan peranan kerajaan dalam membantu masyarakat dan sektor perniagaan.
Sebaliknya, Belanjawan 2027 memperlihatkan usaha mengimbangi kedua-dua keperluan tersebut menerusi pelbagai langkah termasuk pelepasan dan pemotongan cukai, peningkatan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta kesinambungan subsidi bahan api.
Langkah sedemikian penting kerana prestasi ekonomi yang memberangsangkan pada peringkat makro tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan yang dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat.
Bagi sektor perniagaan pula, kemudahan pembiayaan mikro, skim jaminan pembiayaan serta insentif percukaian menyediakan ruang kepada perusahaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk meningkatkan daya saing mereka.
Antaranya ialah elaun modal yang membolehkan perniagaan menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan modal yang layak seperti pembelian mesin dan peralatan.
Melalui mekanisme ini, liabiliti cukai dapat dikurangkan, sekali gus menggalakkan pelaburan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, penggunaan teknologi dan produktiviti.
Namun, keberkesanan langkah tersebut akhirnya bergantung kepada sejauh mana golongan peniaga bersedia memanfaatkan peluang yang disediakan.
Dalam membicarakan Belanjawan 2027, dimensi politik juga tidak boleh diketepikan. Penggal Parlimen semasa dijangka berakhir pada Disember 2027, sekali gus membuka kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan pada tahun hadapan.
Justeru, pertimbangan politik sememangnya sebahagian daripada realiti penggubalan dasar fiskal.
Walau bagaimanapun, sesuatu belanjawan tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui kaca mata politik, sebaliknya berdasarkan keberkesanannya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh asas ekonomi negara.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat dan komuniti perniagaan memberikan respons terhadap peluang yang tersedia.
Sikap kritis terhadap dasar kerajaan sememangnya diperlukan dalam sebuah negara demokrasi. Namun, sikap skeptikal yang berlebihan sehingga menolak setiap peluang yang ditawarkan akhirnya boleh merugikan diri sendiri.
Rakyat perlu terus meningkatkan kemahiran dan keupayaan menjana pendapatan, manakala peniaga harus berani melabur, berinovasi dan meneroka pasaran baharu.
Hakikatnya, kerajaan boleh menyediakan dasar, insentif dan kemudahan pembiayaan, tetapi kejayaan ekonomi turut bergantung kepada tindakan individu dan perniagaan. Belanjawan menyediakan peluang, tetapi kemajuan menuntut tindakan.
Inilah semangat yang seharusnya mendasari Belanjawan 2027. Kita perlu kekal optimis, bersikap konstruktif dan bersedia merebut peluang demi membina masa depan ekonomi yang lebih baik.