SHAH ALAM - Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 dan jaminan pinjaman RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk 80,000 pembeli rumah pertama antara langkah utama Belanjawan 2027 bagi mengurangkan tekanan kewangan rakyat.
Pusat Inisiatif Masa Depan Asia Tenggara (SEAFIC) menyifatkan belanjawan bernilai RM510 bilion itu sebagai langkah positif dalam menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya dalam kalangan isi rumah bandar dan golongan pertengahan yang semakin terhimpit.
Menurut kenyataan itu, tambahan pendapatan sehingga RM300 itu dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja di syarikat yang mencatatkan hasil melebihi RM50 juta, sekali gus membantu pekerja berpendapatan rendah menampung kenaikan perbelanjaan keperluan asas.
Selain itu, cadangan gaji permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerja separa mahir serta kenaikan penanda aras gaji kehidupan wajar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada RM3,100 kepada RM3,400 turut memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan pekerja.
Dalam sektor perumahan, SEAFIC memaklumkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menjamin pinjaman berjumlah RM20 bilion bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama dilihat lebih berdaya maju dalam membantu rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tidak tetap.
"Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank turut menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi membantu pekerja gig memulakan perniagaan serta membeli rumah.
"Bagi 600,000 pemandu dan penunggang, perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik serta pendapatan yang lebih stabil akan disokong melalui pakej bernilai RM160 juta yang dibiayai bersama oleh Grab, di samping peningkatan caruman padanan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," tambah kenyataan itu.
SEAFIC turut menyambut baik peluasan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat, termasuk sehingga RM150 sebulan kepada sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan RM100 sebanyak dua kali kepada sehingga 13 juta rakyat lain.
"Bantuan itu juga boleh digunakan untuk membeli hasil pertanian segar di 216 pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), manakala peruntukan Jualan Rahmah dan Agro Madani ditingkatkan kepada RM750 juta.
"Sebanyak 30,000 program Jualan Rahmah akan dilaksanakan, termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), bagi membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah," menurut kenyataan itu.
Dalam aspek pembangunan ekonomi, pusat kajian itu memaklumkan pelaburan RM1.25 bilion oleh Sime Darby Property, KWSP dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi sektor pusat data dan logistik di Selangor dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
"Inisiatif kecerdasan buatan (AI) Malaysia pula menyasarkan 200,000 pekerja berkemahiran manakala Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan membantu 4,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan teknologi itu membolehkan pekerja serta firma kecil tempatan memperoleh manfaat daripada ekonomi pengkomputeran.
"Pada peringkat pertumbuhan serantau, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura telah menarik pelaburan RM132 bilion, dengan Nexus Sedenak dijangka mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan," tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi SEAFIC, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, belanjawan itu menunjukkan kerajaan mengambil kira kesan perkembangan geopolitik dan geoekonomi terhadap perniagaan serta isi rumah.
"Belanjawan 2027 menunjukkan bahawa kerajaan telah mendengar. Langkah seterusnya ialah memastikan semua langkah ini dilaksanakan dengan berkesan.
"Jika dilaksanakan dengan baik, Malaysia dapat menunjukkan kepada rantau ini bahawa pertumbuhan ekonomi dan sokongan yang lebih menyeluruh kepada isi rumah boleh bergerak seiring," katanya.
SEAFIC berpandangan keberkesanan belanjawan itu perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan pelaburan dan pembangunan infrastruktur, tetapi juga sejauh mana langkah yang diumumkan dapat meningkatkan keselamatan kewangan serta taraf hidup rakyat.