Belanjawan 2027: HRD Corp manfaat dana levi RM3 bilion perkukuh pembangunan kemahiran

Iklan
HRD Corp akan terus memberi tumpuan kepada latihan yang relevan dengan keperluan industri.

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM3 bilion dana levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan dimanfaatkan bagi menyokong tiga juta peluang latihan menerusi Belanjawan 2027, sekali gus memperkukuh pembangunan kemahiran dan modal insan negara.

HRD Corp dalam kenyataan memaklumkan, tumpuan diberikan kepada pensijilan profesional, peningkatan kemahiran yang memenuhi keperluan industri serta usaha meningkatkan kualiti dan memperluas akses kepada latihan.

Iklan
Iklan

Menurut agensi itu, langkah berkenaan selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menyasarkan 35 peratus tenaga kerja negara terdiri daripada pekerja mahir menjelang 2030, sekali gus menyokong peralihan ke arah ekonomi bernilai tinggi.

HRD Corp berkata, caruman levi oleh majikan dapat meningkatkan keupayaan tenaga kerja dan produktiviti, manakala pekerja pula, akses yang lebih luas kepada latihan berasaskan keperluan industri pensijilan yang diiktiraf serta Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dapat menyokong pembangunan dan kemajuan kerjaya.

Iklan

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, inisiatif itu mencerminkan kepentingan usaha memperkukuh kemahiran tenaga kerja negara bagi menghadapi perubahan ekonomi dan keperluan industri.

"HRD Corp akan terus memberi tumpuan kepada latihan yang relevan dengan keperluan industri, pensijilan profesional yang diiktiraf serta pemanfaatan dana levi secara strategik agar pelaburan majikan dalam pembangunan kemahiran dapat memberikan nilai yang bermakna kepada pekerja dan perniagaan.

Iklan

"Pada masa sama, usaha meningkatkan kemahiran dan menyediakan latihan semula perlu terus diperluas kepada semua lapisan masyarakat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kemajuan kerjaya, sekali gus menyokong pembangunan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, produktif dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, HRD Corp memaklumkan sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif Kemahiran Madani Penjaga Profesional yang memanfaatkan 8,000 peserta.

Program itu terbuka kepada golongan lepasan sekolah, graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), suri rumah, pencari kerja serta individu tidak bekerja yang berminat menceburi sektor penjagaan.

Pembiayaan disediakan merangkumi kos latihan, elaun kehadiran dan kit latihan bagi membantu peserta mengikuti program berkenaan.

Menurut HRD Corp, latihan yang ditawarkan meliputi bidang penjagaan warga emas, bayi dan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), penjagaan selepas bersalin serta penjagaan komuniti yang memerlukan.

Inisiatif itu bertujuan melahirkan tenaga penjaga berkemahiran, selain membuka laluan kerjaya dalam sektor penjagaan yang semakin berkembang.

HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan terus bekerjasama dengan industri, majikan dan ekosistem latihan bagi memastikan pembangunan modal insan terus memberi manfaat kepada rakyat, memenuhi keperluan industri serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.