KUALA TERENGGANU - Kejayaan Belanjawan 2027 bukan diukur pada besarnya angka yang diumumkan, sebaliknya terletak pada sejauh mana peruntukan tersebut mampu meningkatkan pendapatan, menyediakan pekerjaan berkualiti serta meringankan kos sara hidup rakyat.
Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Belanjawan 2027 yang berjumlah RM510 bilion memperlihatkan komitmen perbelanjaan yang besar, disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat mesti diseimbangkan.
Mengulas lanjut, beliau menarik perhatian kepada peruntukan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion dengan pecahan RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion untuk pembangunan.
"Dengan caj perkhidmatan hutang yang mencecah RM61 bilion, disiplin fiskal dan kecekapan perbelanjaan perlu terus diperkukuh bagi menjamin kemampuan kewangan negara untuk jangka panjang.
"Baki RM50.2 bilion yang melibatkan pelaburan entiti berkaitan kerajaan dan kerjasama awam-swasta juga perlu dipantau dengan teliti, supaya manfaat ekonomi dan komitmen kewangannya dapat dinilai secara telus," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu itu mengalu-alukan inisiatif bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta langkah meningkatkan pendapatan pekerja.
Bagaimanapun, katanya, keutamaan jangka panjang mestilah diletakkan kepada usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, menyediakan peluang pekerjaan yang setimpal dan memperkukuh perusahaan tempatan.
Mengulas mengenai proses perundangan di Dewan Rakyat, jelas beliau, pihaknya akan meneliti Belanjawan 2027 secara bertanggungjawab di Parlimen.
"Mana yang baik kita sokong, mana yang perlu ditambah baik kita kemukakan cadangan," ujar beliau.