Jerebu rentas sempadan: Indonesia, Malaysia kekalkan perhubungan diplomatik peringkat tinggi

Iklan
Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir - Foto: Antara

JAKARTA - Indonesia dan Malaysia terus mengekalkan perhubungan diplomatik peringkat tinggi berhubung isu jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah, susulan perbualan telefon antara pemimpin kedua-dua negara di tengah-tengah kebimbangan mengenai pencemaran udara yang semakin buruk.

Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi menjelaskan usaha negara itu memadamkan kebakaran berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kami telah mengatur gerak lebih 60,000 anggota. Keadaan ini sememangnya mencabar kerana cuaca ketika ini tidak memihak kepada kami, namun kami berharap keadaan akan bertambah baik berikutan hujan yang dijangka berlaku tidak lama lagi," katanya kepada pemberita.

Arrmanatha berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis bahawa beliau telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto berhubung situasi jerebu.

Iklan

Anwar turut berkata, Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran berkenaan dan telah mengarahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menghubungi Sekretariat ASEAN bagi memohon supaya mesyuarat Menteri-Menteri Berkaitan Alam Sekitar diadakan bagi menyelaraskan usaha menangani situasi jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, Kementerian Kehutanan Indonesia melaporkan peningkatan mendadak jumlah titik panas di seluruh negara kepada 793 setakat 9.10 malam waktu tempatan pada Sabtu, berbanding 437 pada hari sebelumnya.

Iklan

Enam wilayah keutamaan mencatatkan 421 titik panas, meningkat daripada 270 pada hari sebelumnya.

Menurut sistem pemantauan kementerian itu, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 288, diikuti Sumatera Selatan (60), Kalimantan Barat (44), Kalimantan Selatan (28) dan Jambi (satu), manakala Riau tidak merekodkan sebarang titik panas.

"Peningkatan hari ini menjadi peringatan bahawa tahap kewaspadaan tidak seharusnya bergantung pada trend dalam tempoh satu atau dua hari sahaja," menurut kementerian itu menerusi kemas kini video yang dimuat naik ke akaun Instagram rasminya.

Kementerian itu memaklumkan pemantauan kualiti udara berdasarkan kepekatan zarah halus PM2.5 terus menunjukkan keadaan tidak sihat hingga sangat tidak sihat di beberapa kawasan, dengan pencemaran udara pada tahap berbahaya dikesan di beberapa lokasi di Kalimantan, Sumatera dan Papua.

Menurut kementerian itu, sebanyak 61 pesawat kekal dalam keadaan bersiap sedia, terdiri daripada 44 pesawat bagi operasi pemadaman menggunakan kaedah water-bombing dan 17 lagi untuk rondaan udara serta operasi modifikasi cuaca, dengan sokongan pasukan pemadam kebakaran di darat. - Bernama