IPOH - Indonesia masih belum memberikan maklum balas terhadap tawaran Malaysia untuk menghantar bantuan bagi memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyumbang kepada masalah jerebu di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu merangkumi penghantaran sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu operasi memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, tawaran tersebut dikemukakan ketika lawatan rasmi beliau ke Jakarta sebelum ini, termasuk pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka.
Jelas beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar turut mengutus surat kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia berhubung tawaran bantuan berkenaan, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
"Dalam hal ini kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya katakan saya husnuzon...ya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.
Program bertemakan Madani Siaga, Tanggungjawab Bersama itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai perbalahan antara Malaysia dan Indonesia, sebaliknya perlu ditangani menerusi kerjasama kedua-dua negara.
"Kini kita terpaksa mengimport jerebu secara rela paksa dari Sumatera dan Kalimantan.
"Kita terpaksa menyedut apa yang dipanggil oleh mereka sebagai asap dan di sini sebagai jerebu...dan ini kita tidak ada pilihan," katanya.
Mengulas kemungkinan tindakan perundangan berhubung isu jerebu itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti sekiranya perlu.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pendekatan penyelarasan dan pencegahan menerusi kerjasama serantau lebih baik berbanding tindakan perundangan.
"Atas semangat ASEAN, koordinasi untuk mengelakkan itu lebih baik," katanya.