SHAH ALAM - Kerajaan menegaskan tiada dana pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) digunakan bagi membiayai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan 40,000 petugas masjid dan guru takmir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, peruntukan berkenaan 100 peratus bersumberkan peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme institusi berkenaan semata-mata atas kapasiti pengurusan.
Beliau menjelaskan, dakwaan atau andaian menyatakan wujud penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif.
"Ingin ditegaskan secara nyata bahawa tiada dana pendeposit TH yang digunakan bagi pembiayaan caruman ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah menanggung sepenuhnya caruman perlindungan sosial berkenaan dalam Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif tersebut meliputi imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir demi menjamin kebajikan serta kesejahteraan barisan hadapan syiar Islam.
Zulkifli menjelaskan, langkah berkenaan merupakan manifestasi pemeliharaan maslahat dan pengiktirafan tertinggi terhadap khidmat bakti kakitangan berkaitan hal ehwal Islam.
Katanya lagi, kerajaan juga bertegas memelihara integriti pengurusan amanah badan terbabit selain tadbir urus korporat telus berteraskan prinsip syariah demi memartabatkan kebajikan institusi agama.
“Inisiatif ini dizahirkan secara khusus demi menjamin kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan para petugas serta pendidik masyarakat yang sentiasa berkhidmat di barisan hadapan syiar Islam,” ujarnya.