Belanjawan 2027: Anwar prihatin masalah 'lama' rakyat Kelantan

Iklan
Ezzat Hanuzi

KOTA BHARU – Peruntukan bagi menangani masalah banjir, gangguan bekalan air bersih dan kemudahan pengangkutan awam membuktikan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian terhadap masalah asas yang sekian lama membelenggu rakyat Kelantan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Ezzat Hanuzi Mohamad Zahrim berkata, pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri itu memperlihatkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, antara perkara penting yang diumumkan termasuk projek Empangan Lebir bagi menangani isu banjir dan bekalan air, penambahbaikan Loji Rawatan Air Machang serta penggantian paip uzur yang menjadi antara punca gangguan bekalan air bersih.

Ujarnya, pembangunan stesen bas di stesen ECRL Kota Bharu dan peruntukan RM270 juta bagi menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di bandar utama, termasuk usaha menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL, turut memberi harapan kepada rakyat negeri itu.

Iklan

"Ini bukan sekadar senarai projek pembangunan di atas kertas, sebaliknya melibatkan kehidupan sebenar rakyat Kelantan yang sekian lama berhadapan dengan masalah banjir, gangguan bekalan air bersih dan kemudahan pengangkutan awam yang memerlukan penyelesaian tuntas.

"Rakyat Kelantan tidak mahu terus terperangkap dalam polemik politik, sebaliknya mahukan penyelesaian yang nyata, perancangan berkesan dan hasil yang dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Ezzat memberitahu, perhatian yang diberikan Kerajaan Madani terhadap keperluan asas negeri ini wajar disambut baik kerana rakyat Kelantan berhak menikmati pembangunan yang adil seperti negeri lain.

Beliau turut menyifatkan pendirian Menteri Besar Kelantan yang menyambut baik peruntukan Belanjawan 2027 dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan sebagai langkah yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Menurutnya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi penduduk negeri itu.

"Jika kerajaan negeri sendiri mengiktiraf manfaat yang bakal diperoleh, amatlah mendukacitakan apabila terdapat segelintir wakil rakyat pembangkang, khususnya daripada Pas, yang dilihat memperlekehkan pengumuman tersebut.

"Mengkritik kerajaan ialah hak pembangkang, tetapi kritikan mestilah berasaskan fakta dan tidak sampai menafikan usaha yang berpotensi menyelesaikan masalah rakyat sendiri," katanya.

Ujar beliau, keberkesanan Belanjawan 2027 akhirnya bergantung kepada pelaksanaan projek yang diumumkan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, AMK Kelantan berharap semua projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan cekap, telus dan mengikut jadual bagi memastikan masalah asas yang sekian lama membelenggu rakyat negeri itu dapat ditangani.

"Rakyat Kelantan tidak meminta layanan istimewa. Mereka hanya mahukan hak pembangunan yang adil, bekalan air bersih, kehidupan lebih selamat daripada ancaman banjir dan pengangkutan awam yang lebih baik.

"Ini bukan hadiah untuk mana-mana parti politik, sebaliknya harapan dan manfaat untuk rakyat Kelantan," katanya.