SHAH ALAM - Seorang pemuda sanggup melepaskan peluang bekerja sebagai kru kapal di Singapura demi menjaga bapanya yang lumpuh separuh badan sejak 10 tahun lalu.
Abdul Muqmin Mazni, 25, membuat keputusan itu bulan lalu selepas mendapati tiada ahli keluarga lain yang dapat memberikan komitmen penuh untuk menjaga bapanya, Mazni Abdul Hamid, 63.
Anak bongsu daripada tiga beradik berkenaan berkata, tawaran bekerja di negara jiran itu terpaksa ditolak kerana bapanya memerlukan pemantauan rapi berikutan kerap diserang sawan.
Menurut Muqmin, kakak keduanya sudah berkahwin dan menetap di Selangor bersama suami, manakala kakak sulung yang tinggal bersama mereka bekerja sebagai kerani kilang dengan waktu kerja tidak menentu.
“Biasanya waktu kerja kakak sulung tidak menentu, jadi tanggungjawab menguruskan abah memang atas bahu saya sepenuhnya.
“Apabila kakak sulung balik dari tempat kerja, barulah kami dapat bergilir-gilir tengokkan abah kat rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Mengimbas kembali kehidupannya, bekas penuntut Kolej Vokasional Besut itu berkata, tanggungjawab menjaga ibu dan bapanya itu mula dipikul sejak berusia 13 tahun apabila kedua-duanya jatuh sakit serentak pada 2014.
Selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser payudara pada 2018, Muqmin turut berdepan kesukaran meneruskan pengajian apabila terpaksa menamatkan kursus diploma pada semester keempat berikutan masalah kewangan.
"Hasrat untuk menyambung semula pelajaran masih ada, tapi buat masa ini tanggungjawab utama adalah untuk menjaga ayah," ujarnya.