Angelina Jolie tidak lupa penderitaan Gaza

Iklan
Angelina Jolie

BINTANG Hollywood, Angelina Jolie, sekali lagi menarik perhatian dunia terhadap penderitaan penduduk Palestin apabila berkongsi imej satelit yang mendedahkan skala kemusnahan di Genting Gaza akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023.

Pelakon terkenal yang juga bekas Wakil Khas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu menggunakan platform Instagram untuk memaparkan perbandingan keadaan Gaza sebelum dan selepas perang menerusi imej Google Earth.

Iklan
Iklan

Hantaran pada Sabtu itu memperlihatkan kawasan penempatan yang dahulunya padat dengan bangunan kini bertukar menjadi timbunan runtuhan, sekali gus menggambarkan kesan dahsyat konflik terhadap kehidupan penduduk Palestin.

Antara lokasi yang dipaparkan ialah kawasan berhampiran Sekolah Al-Qadisiyah di Rafah, Khan Younis di selatan Gaza serta Jalan Omar Mukhtar di Bandar Gaza.

Iklan

Perkongsian itu dibuat menjelang ulang tahun ketiga perang di Gaza. Ketika dunia kembali mengimbau tragedi berkenaan, Jolie mengetengahkan kemusnahan wilayah Palestin itu dan penderitaan jutaan penduduk yang masih bergelut meneruskan kehidupan akibat konflik berpanjangan.

Menurutnya, seluruh kawasan kejiranan telah musnah, manakala kediaman, sekolah, universiti, hospital, jalan raya serta sistem bekalan air dan sanitasi mengalami kerosakan serius.

Iklan

Imej satelit memaparkan keadaan terkini Gaza dikongsikan menerusi hantaran di media sosialnya.

Jolie turut memetik analisis satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan sebanyak 82 peratus struktur bangunan di Gaza mengalami kerosakan setakat 16 Jun lalu. Daripada jumlah itu, kira-kira dua pertiga dinilai musnah sepenuhnya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap nasib hampir dua juta penduduk Gaza yang masih bergelut mendapatkan tempat perlindungan dan keperluan asas menjelang musim sejuk.

Prihatin

Berdasarkan data kemanusiaan yang dikongsikannya, kira-kira 1.98 juta orang atau 94 peratus penduduk Gaza memerlukan bantuan tempat perlindungan dan barangan asas.

Bagaimanapun, penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan untuk membina tempat perlindungan dilaporkan terus berdepan sekatan serta kelewatan.

Bekas isteri pelakon Brad Pitt itu menegaskan bahawa imej satelit hanya mampu menunjukkan kemusnahan fizikal, namun gagal menggambarkan sepenuhnya penderitaan sebenar yang ditanggung penduduk awam.

“Apa yang tidak dapat ditunjukkan ialah bagaimana rasanya hidup di tengah-tengah kebinasaan itu, apa yang berlaku kepada keluarga yang terkorban dan bagaimana nasib mereka yang terselamat,” katanya.

Jolie (kiri) bercakap kepada media di lintasan sempadan Rafah ketika meninjau bantuan yang memasuki Gaza.

Pelakon yang pernah menerima dua Anugerah Oscar itu turut menggesa agar bantuan kemanusiaan, bekalan perubatan dan keperluan tempat perlindungan segera disalurkan kepada penduduk Gaza.

Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan keadaan yang membolehkan penduduk Palestin membina semula kehidupan mereka.

“Kemusnahan itu jelas kelihatan. Apa yang penting sekarang ialah sama ada keperluan mendesak mereka dapat dipenuhi,” tegasnya.

Jolie pernah berkhidmat dengan UNHCR selama lebih dua dekad, bermula sebagai Duta Muhibah pada 2001 sebelum menjadi Wakil Khas sehingga 2022.

Menurut angka pihak berkuasa Palestin, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 74,000 nyawa rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 175,000 yang lain. Konflik itu turut mengakibatkan kemusnahan meluas di seluruh Gaza. – Agensi