Belanjawan 2027: Pertaruhan Anwar, ujian PH-BN dan isyarat awal PRU16 - ​Penganalisis

Iklan
Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama (Gambar kecil: Azrie)

KUALA TERENGGANU - Belanjawan Madani 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat bukan sekadar instrumen pengurusan fiskal negara sebaliknya menjadi pertaruhan besar dan ujian penting buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

​Penganalisis Politik, Dr Azrie Azeh berkata, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin menghampiri penghujung penggal Parlimen semasa, belanjawan ini turut menjadi ujian terhadap keupayaan kerajaan menukarkan dasar ekonomi kepada keyakinan politik.

Iklan
Iklan

​Beliau menjelaskan, dengan anggaran perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, kerajaan memperlihatkan komitmen melindungi pendapatan dan menangani kos sara hidup.

Namun, katanya, persoalan lebih penting bukan sekadar jumlah wang yang diperuntukkan, tetapi sejauh mana langkah tersebut mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Iklan

"Dalam kerangka ekonomi politik, kejayaan belanjawan tidak wajar dinilai berdasarkan populariti pengumuman semata-mata, sebaliknya berlandaskan keberkesanan pelaksanaan, keadilan pengagihan dan hasil yang dapat diukur," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Dr Azrie berkata, PRN Melaka pada 14 November ini memberikan dimensi politik segera kepada Belanjawan 2027 apabila pengundi bukan sahaja menilai tawaran parti, malah membandingkan janji dengan rekod pentadbiran serta keupayaan pemerintah menyelesaikan masalah setempat.

Iklan

"Bagi PH, cabarannya ialah menghubungkan dasar nasional dengan pengalaman sebenar rakyat Melaka, terutamanya berkaitan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti, perumahan, pengangkutan dan kos perniagaan kecil.

"Sementara itu, bagi BN yang menerajui kerajaan negeri, cabarannya adalah untuk mempertahankan rekod pentadbiran negeri sambil bekerjasama dengan PH di peringkat Persekutuan tanpa menjejaskan kepentingan parti masing-masing," jelasnya.

​Situasi ini katanya, mencetuskan paradoks politik gabungan, di mana parti yang berkongsi kuasa pusat turut bersaing mendapatkan pengiktirafan rakyat di peringkat negeri.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan pilihan raya tidak boleh dijelaskan melalui belanjawan semata-mata kerana faktor calon, jentera parti dan isu tempatan turut memainkan peranan besar.

"​Dari sudut ekonomi, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 membabitkan lebih empat juta pekerja dengan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berpendapatan bawah RM50 juta setahun membawa cabaran tersendiri dalam menyeimbangkan perlindungan pekerja dan daya tahan perniagaan kecil.

"Kerajaan turut memperkenalkan kerangka gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan ekonomi Malaysia perlu berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi bagi menangani masalah produktiviti yang lemah secara mampan.

"Dalam masa sama, peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion dilihat kritikal sebagai bantuan segera, manakala dasar latihan dan pelaburan berkualiti diperlukan untuk mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap bantuan sosial," ujarnya.

Tambah beliau, ​kerajaan turut mengunjurkan defisit fiskal menurun daripada 3.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 kepada 3.3 peratus pada 2027, mencerminkan usaha konsolidasi fiskal yang berterusan.

Menurutnya lagi, bagi pembangkang seperti Perikatan Nasional (PN), ruang kritikan terbuka menerusi isu ketelusan perbelanjaan dan keadilan pengagihan, namun ia harus disertai alternatif ekonomi yang munasabah.

"​Menjelang PRU16, Belanjawan 2027 menjadi asas ukuran konsistensi antara janji politik dan hasil nyata. Ukuran akhirnya bagi pengundi bukanlah retorik kempen atau banyaknya pengumuman, tetapi perubahan positif yang benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian.

"Belanjawan Madani 2027 jelas bukan sekadar ujian kewibawaan Anwar Ibrahim, tetapi kayu pengukur keupayaan keseluruhan sistem politik Malaysia dalam merapatkan jurang antara pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial dan kepercayaan rakyat," ujarnya.