SHAH ALAM - Belanjawan 2027 memberi penekanan terhadap usaha membanteras rasuah sistemik yang berakar umbi secara habis-habisan menerusi pengukuhan agenda reformasi serta penambahbaikan tatakelola kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan mencerminkan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda reformasi tanpa gentar.
Menurut SPRM, cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola entiti yang diamanahkan mengurus wang dan aset rakyat merupakan langkah penting bagi mengelakkan skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kemelut Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) daripada berulang.
Jelasnya, usaha berkenaan bukan sekadar membanteras salah guna kuasa, malah bertujuan memperkukuh tatakelola dalam pengurusan entiti yang mengendalikan kepentingan rakyat.
SPRM turut menyambut baik keputusan kerajaan memastikan semua kutipan bayaran balik pinjaman, termasuk pinjaman pendidikan dan perniagaan, digunakan semula bagi tujuan yang ditetapkan.
Menurutnya, langkah itu membuktikan kesedaran kerajaan mengenai kepentingan memastikan hasil berkenaan disalurkan kepada kumpulan sasaran dan tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.
Dalam pada itu, keputusan kerajaan mendedahkan maklumat projek, termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak susulan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027, turut mencerminkan komitmen terhadap ketelusan dalam pengurusan perolehan awam.
SPRM juga menyambut baik langkah kerajaan mengkaji penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk serta jurang perundangan yang perlu ditangani.
Menurut suruhanjaya itu, undang-undang negara perlu sentiasa dikemas kini bagi menutup ruang dan peluang berlakunya jenayah.
Selain itu, SPRM merakamkan penghargaan atas peruntukan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa, termasuk suruhanjaya berkenaan.
Katanya, peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa untuk mencegah dan membanteras jenayah, termasuk rasuah, selain membawa penjenayah ke muka pengadilan serta mengembalikan hasil kepada negara.
SPRM yakin sokongan kerajaan dan rakyat mampu meningkatkan usaha memperkukuh integriti serta menambah baik tatakelola, sekali gus mempergiat pembanterasan rasuah demi kesejahteraan rakyat.