Belanjawan 2027 perkukuh daya saing, pertumbuhan ekonomi negara – Khazanah

Iklan
Khazanah mengalu-alukan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan bahagian pendapatan buruh dalam KDNK Malaysia.

SHAH ALAM - Belanjawan 2027 dijangka mampu memperkukuh daya saing ekonomi negara, memperluas peluang perniagaan tempatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pelaburan strategik, pembangunan bakat serta peralihan tenaga.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, belanjawan itu dibentangkan pada saat penting bagi Malaysia, ketika negara terus mengharungi persekitaran global tidak menentu, dipengaruhi ketidakpastian geopolitik, tekanan rantaian bekalan dan harga bahan api tinggi susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Iklan
Iklan

"Belanjawan ini memberikan penekanan bukan sahaja kepada pertumbuhan, malah pertumbuhan yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Amirul Feisal berkata, tumpuan terhadap sektor dan bidang strategik seperti semikonduktor, peralihan tenaga, infrastruktur, pembangunan perusahaan dan bakat mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina ekonomi lebih kukuh, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Iklan

“Keutamaan ini amat penting untuk memperkukuh asas perindustrian Malaysia, meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mewujudkan peluang bernilai lebih tinggi untuk perniagaan dan pekerja,” ujarnya lagi.

Amirul Feisal

Iklan

Beliau berkata, Belanjawan 2027 turut mengekalkan pendekatan inklusif bagi memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, termasuk pekerja, belia, usahawan, syarikat Bumiputera serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Khazanah mengalu-alukan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan bahagian pendapatan buruh dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia," menurutnya.

Beliau memberitahu, Khazanah turut menyokong penuh peningkatan penanda aras gaji kehidupan wajar bagi pekerja syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada RM3,400 sebulan.

"Pelaburan Dana Warisan Khazanah di bawah inisiatif Warisan KL yang lebih luas kekal menjadi keutamaan penting bagi Khazanah, dan kami akan meneruskan inisiatif pemuliharaan yang sedang dilaksanakan di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa," kongsinya lagi.

Menurut Amirul Feisal, Khazanah juga mengalu-alukan kerjasama erat dengan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju Malaysia serta menyokong pertumbuhan syarikat tempatan berpotensi tinggi.

"Menerusi kerjasama itu, Kerajaan Pulau Pinang, Kerajaan Selangor dan Khazanah masing-masing akan memperuntukkan RM50 juta dalam Dana Pelaburan Strategik, menjadikan saiz awal dana berkenaan sebanyak RM150 juta," ujarnya.

Beliau memaklumkan, penekanan belanjawan terhadap pembangunan vendor, inovasi dan penerokaan pasaran baharu turut memperluas peluang pengembangan perniagaan Bumiputera.

"Bagi menyokong usaha ini, saiz Dana Ciptawan akan ditingkatkan kepada RM250 juta menerusi kerjasama dengan TERAJU untuk menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan Bumiputera dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, Khazanah turut mengalu-alukan aspirasi kerajaan dalam peralihan tenaga dan daya tahan iklim menerusi pelaburan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam grid nasional serta pelaburan UEM Lestra sebanyak RM1 bilion dalam tenaga boleh baharu.

Tambahnya, usaha itu menyokong agenda mempercepat keterjaminan bekalan tenaga, kemampuan menanggung kos tenaga dan kemampanan tenaga negara.

Dalam pada itu, kongsi Amirul Feisal, Khazanah bersedia menyokong inisiatif kerajaan dengan terus menggembleng modal dan keupayaan menerusi Dana Impak, Jelawang Capital, Dana Ciptawan, Dana Warisan, K-Youth, Bakat MADANI dan Yayasan Hasanah.

"Kami akan terus bekerjasama dengan GLIC lain di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk menggembleng modal dengan lebih berkesan melalui pelaburan berdisiplin, kerjasama pemangkin dan program berpaksikan impak membantu membina Malaysia lebih berdaya tahan untuk generasi masa kini dan akan datang," jelasnya lagi.