KETUA pasukan Trackhouse MotoGP, Davide Brivio menyalahkan Marc Marquez dan Jorge Martin susulan kemalangan membabitkan Marco Bezzecchi dan Raul Fernandez pada perlumbaan pecut Grand Prix Indonesia, Sabtu.
Permulaan perlumbaan 13 pusingan itu berlangsung dramatik apabila empat pelumba bersaing secara bersebelahan ketika memasuki selekoh pertama bagi merebut kedudukan pendahulu.
Fabio Di Giannantonio daripada pasukan VR46 berada di laluan paling dalam, manakala Marquez di sebelahnya selepas melakukan permulaan cemerlang dari petak keempat.
Di laluan luar pula, Bezzecchi yang mewakili pasukan Aprilia dan Fernandez, pelumba petak utama daripada Trackhouse Aprilia turut bersaing rapat.
Ketika memasuki Selekoh 1, Di Giannantonio tersasar sedikit sehingga memaksa Marquez memperlahankan motosikal dan menegakkan badannya.
Situasi itu menyebabkan Bezzecchi turut melakukan perkara sama sebelum Fernandez merempuh bahagian belakang motosikal Bezzecchi sekali gus mengakibatkan kedua-dua pelumba Aprilia itu terjatuh.
Martin yang berada di belakang kumpulan berkenaan berjaya mengambil kesempatan daripada kekecohan itu untuk merampas kedudukan pendahulu.
Dalam temu bual ringkas bersama siaran langsung MotoGP sejurus selepas kejadian, Brivio meletakkan kesalahan kepada Marquez dan Martin kerana didakwa terlalu agresif ketika memasuki selekoh pertama.
“Sukar untuk dipastikan. Berdasarkan rakaman awal, nampaknya Jorge dan Marc terlalu agresif di selekoh pertama.
“Mereka mahu meraih sebanyak mungkin kedudukan.
“Saya fikir itulah akibatnya apabila mereka bertindak agresif terhadap pelumba lain.
“Bagi saya, mereka memang terlalu agresif di selekoh pertama, tetapi saya tidak terkejut,” katanya.
Bagaimanapun, tiada makluman dikeluarkan oleh steward FIM MotoGP berhubung sebarang siasatan terhadap insiden berkenaan.
Kemalangan itu memberi kesan besar kepada peluang Bezzecchi dalam perebutan kejuaraan dunia apabila dia kini ketinggalan 59 mata, sekali gus berdepan tugas semakin sukar untuk kembali bersaing.
Rakan sepasukannya, Martin pada awalnya dilihat berpeluang meraih kemenangan selesa dalam perlumbaan pecut itu bagi melebarkan kelebihan kepada lima mata dalam kedudukan kejuaraan.
Namun, masalah tekanan tayar yang dipercayai berlaku ketika perlumbaan berbaki lima pusingan memaksanya memperlahankan tunggangan, sekali gus membuka ruang kepada Marquez untuk mengambil alih kedudukan pertama.
Martin cuba bangkit pada penghujung perlumbaan, tetapi melakukan kesilapan ketika memasuki selekoh kedua terakhir dengan baki dua pusingan sebelum terbabas keluar dari trek.
Pelumba Sepanyol itu akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala Marquez meraih kemenangan perlumbaan pecut kelapan musim ini untuk mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan buat kali pertama.