NEW DELHI - Penahanan dramatik pengasas Parti Lipas Janta (CJP), Abhijeet Dipke tercetus apabila anggota polis menyerbu pesawat Air India sejurus ia mendarat pada pagi Sabtu menjelang demonstrasi yang dirancang parti berkenaan di Jantar Mantar.
Dipke turut menyiarkan kejadian itu secara langsung menerusi Instagram ketika beliau diberkas bersama dua lagi anggota CJP, Saurav Das dan Ashutosh Ranka.
Video yang dimuat naik Dipke memaparkan kekecohan di dalam pesawat apabila anggota CJP bertengkar dengan anggota polis dan mempersoalkan tindakan mereka yang terlalu tergesa-gesa hingga mengganggu penumpang lain yang mahu turun dari pesawat.
“Datanglah tangkap kami. Kami tidak takut,” kata Dipke kepada anggota polis wanita yang cuba menerpanya.
Ketiga-tiga pemimpin CJP kemudian dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan.
Terdahulu, Dipke berlepas dari Mumbai ke New Delhi bagi mengetuai demonstrasi di Jantar Mantar terhadap Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar.
Dalam satu kenyataan, CJP mengecam tindakan melulu itu yang disifatkan sebagai satu bentuk 'penahanan autoritarian'.
Sebelum itu, YouTuber, Dhruv Rathee dan ketua unit perundangan CJP, Ratna Singh turut ditahan di kediaman masing-masing bagi menghalang mereka daripada menyertai demonstrasi berkenaan.
Lebih 400 individu yang disyaki sebagai penunjuk perasaan juga diberkas di beberapa lokasi sekitar New Delhi.
Pada Jumaat, Polis Delhi menolak permohonan untuk mengadakan demonstrasi CJP dengan alasan kebenaran kononnya tidak dipohon lebih awal.
Ibu kota India itu turut menyaksikan sekatan luar biasa apabila kira-kira 45 stesen Metro ditutup dan puluhan perkhidmatan kereta api dibatalkan bagi menghalang pergerakan protes itu.
Kerajaan pusat mengerahkan lebih 20,000 anggota polis dan Pasukan Polis Bersenjata Pusat bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara. - Agensi