KUALA LUMPUR – Pakar biologi gajah antarabangsa, Dr William Keith Lindsay, menggesa supaya Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dikembalikan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, susulan kebimbangan terhadap kebajikan ketiga-tiga gajah itu di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Dr Lindsay, yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang biologi gajah, berpandangan keputusan memindahkan ketiga-tiga gajah berkenaan dari Malaysia ke Jepun wajar dibatalkan dan proses pemulangan mereka dilaksanakan tanpa kelewatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Dr Siti SR Raws selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Dr Lindsay di Oxford, United Kingdom, pada 16 hingga 19 September lalu.
Menurut Dr Siti, kebajikan gajah bukan sekadar melibatkan penyediaan makanan, air dan tempat perlindungan, sebaliknya turut merangkumi keperluan nutrisi, mineral semula jadi, ruang untuk melakukan tingkah laku semula jadi serta kesejahteraan fizikal dan psikologi.
Beliau berkata, dalam laporan bertarikh 10 Ogos lalu, Dr Lindsay membangkitkan kebimbangan serius terhadap keadaan DAK berdasarkan pemeriksaan 27 rakaman video sepanjang Julai 2026.
Hasil pemerhatian itu katanya, Dr Lindsay mendapati ketiga-tiga gajah berkenaan menunjukkan tingkah laku menghayunkan badan secara berulang atau stereotypic swaying.
Menurut laporan berkenaan, tingkah laku itu dikaitkan dengan tekanan dan kekecewaan akibat keadaan kurungan, termasuk kekurangan tumbuh-tumbuhan semula jadi serta gangguan bunyi pengumuman kuat di zoo.
"Dr Lindsay turut membangkitkan kebimbangan mengenai suhu panas di Osaka dan kemungkinan kesannya terhadap kesejahteraan gajah berkenaan," katanya.
Tingkah laku berulang yang berterusan berpotensi menjejaskan kesejahteraan psikologi haiwan dalam jangka panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Siti berkata, Dr Lindsay turut menjelaskan kepentingan mineral dan garam dalam memenuhi keperluan nutrisi serta menyokong fungsi fisiologi gajah.
Katanya, gajah secara semula jadi mendapatkan sumber mineral dan garam daripada tanah, kawasan yang kaya dengan mineral serta sumber lain dalam habitat mereka.
Beliau berkata, antara tingkah laku yang diperhatikan pada DAK ialah menggunakan belalai untuk memeriksa, mengutip dan memasukkan partikel kecil dari permukaan tanah ke dalam mulut.
Bagaimanapun, tingkah laku itu sahaja tidak dapat mengesahkan sama ada ketiga-tiga gajah berkenaan mengalami kekurangan mineral.
Dr Lindsay turut mempersoalkan kesesuaian aktiviti pengayaan (enrichment) yang melibatkan rumput kering atau hay digantung pada kedudukan terlalu tinggi.
Menurut Dr Siti, kaedah itu mungkin kurang bersesuaian sekiranya memerlukan gajah mencapai makanan pada ketinggian yang tidak mencerminkan kebiasaan pemakanan semula jadi mereka.
Sebaliknya, gajah lazimnya mendapatkan makanan daripada tumbuh-tumbuhan pada pelbagai ketinggian yang boleh dicapai secara semula jadi.
Beliau berkata, habitat yang sesuai perlu menyediakan peluang kepada gajah untuk bergerak, meneroka, mencari makanan, menggali tanah, berkubang, mandi debu dan berinteraksi dengan persekitaran.
Aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada keperluan biologi dan tingkah laku yang penting untuk kesejahteraan gajah.
Persekitaran kurungan yang terlalu terhad pula boleh mengurangkan peluang haiwan itu melakukan aktiviti semula jadi, sekali gus berpotensi menjejaskan kebajikan fizikal dan psikologi mereka.
Sementara itu, Dr Lindsay turut membangkitkan isu kebajikan seekor gajah betina bernama Hiroko yang pernah ditempatkan di Tennoji Zoo.
Menurut maklumat yang dikemukakan Dr Siti, Dr Lindsay sebelum ini mengesyorkan supaya Hiroko dipindahkan ke pusat perlindungan yang lebih sesuai.
Hiroko dilaporkan mati pada 2018 selepas mengalami masalah kesihatan kaki yang serius.
Sejarah itu turut menimbulkan perhatian terhadap kepentingan pemantauan kesihatan, kesesuaian persekitaran dan kebajikan jangka panjang gajah dalam kurungan.
DAK dibesarkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah sebelum dihantar ke Jepun pada Mac 2026.
Dr Siti menegaskan, pemahaman terhadap tingkah laku dan keperluan semula jadi gajah penting bagi memastikan aspek kebajikan haiwan berkenaan tidak dipandang ringan.
“Kebajikan gajah bukan hanya tentang memastikan mereka terus hidup, tetapi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang memenuhi keperluan semula jadi mereka,” katanya.