PERUNTUKAN RM460 juta bagi pembangunan sukan negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 semalam dijangka memperkukuh ekosistem pembangunan atlet, merangkumi sukan berprestasi tinggi, atlet para dan penyelenggaraan fasiliti sukan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu turut meliputi program Road to Gold (RTG) serta pembangunan sukan Orang Pekak bagi memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.
"KBS menghargai peruntukan RM460 juta bagi pembangunan sukan negara, merangkumi pembangunan sukan berprestasi tinggi, program Road to Gold, pembangunan atlet para, Sukan Orang Pekak dan penyelenggaraan fasiliti sukan.
"Peruntukan ini penting bagi memperkukuh ekosistem pembangunan atlet secara menyeluruh dan berterusan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu KBS memaklumkan peruntukan RM240 juta bagi persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan menyokong kesiapsiagaan Malaysia sebagai tuan rumah kedua-dua temasya berkenaan.
Menurut KBS, peruntukan RM30 juta bagi Geran Padanan Sukan turut membuka peluang kepada badan sukan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mempergiat penganjuran acara sukan berprestasi tinggi.
"Dalam agenda pembangunan belia, pengenalan Program Budi Belia melalui pemberian insentif e-dompet RM100 kepada anak muda yang melengkapkan aktiviti kesukarelawanan adalah langkah menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pembangunan masyarakat," menurut kenyataan itu.
Peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian pula dijangka menyokong usaha memperkasa kemahiran, kebolehpasaran dan prospek kerjaya golongan muda, selaras dengan pembangunan modal insan menerusi Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
KBS memaklumkan kementerian akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan inisiatif yang diumumkan dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada golongan belia, atlet dan masyarakat secara keseluruhannya. - Bernama