SINGAPURA - Singapura menyatakan kesediaannya untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan dalam keadaan jerebu yang semakin teruk di rantau ini, kata Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Grace Fu.
Menteri itu berkata, beliau telah berhubung dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Jumhur Hidayat, untuk menawarkan sokongan dalam membantu negara jiran itu memerangi kebakaran hutan berikutan keadaan cuaca kering di seluruh rantau ini.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jumhur atas usaha yang dilakukan oleh menteri Indonesia bagi mengawal kebakaran hutan.
"Kita sedar bahawa usaha sedang berjalan. Kita bersedia untuk membantu apa sahaja yang kita mampu.
"Saya juga menyokong sebarang usaha serantau untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama serantau mengenai isu jerebu," kata Grace kepada media Singapura pada Sabtu.
Kementerian memuat naik rakaman media mengenai Keadaan Jerebu Semasa dan Usaha Seluruh Kerajaan di laman webnya.
Beliau menegaskan bahawa Singapura mesti bersedia dan sangat prihatin terhadap penduduknya, terutamanya golongan yang lebih terdedah, warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil serta mereka yang mempunyai masalah paru-paru dan jantung.
"Kita berupaya menangani situasi ini. Kita mempunyai rancangan dan kita akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk melindungi kesihatan awam rakyat Singapura.
"Pasukan Petugas Jerebu telah bermesyuarat secara berkala. Kita mempunyai stok topeng N95 yang mencukupi dan akan bersedia untuk digunakan apabila perlu," katanya.
Grace yang juga Menteri Bertanggungjawab atas Hubungan Perdagangan, menambah bahawa pengedaran topeng akan dilaksanakan apabila Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) 24 jam mencapai 200.
Sementara itu, kualiti udara terus berada pada tahap tidak sihat di seluruh Singapura pada Sabtu, dengan PSI 24 jam antara 122 dan 171 dalam keadaan jerebu yang berterusan.
Sehingga 12 tengah hari, data Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menunjukkan PSI 24 jam berada pada 171 di wilayah tengah, 161 di barat, 154 di timur, 134 di selatan dan 122 di utara.
PSI 24 jam menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA, dengan bacaan 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat dan yang melebihi 300 sebagai berbahaya.
Sementara itu, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) memaklumkan dalam tinjauan jerebu hariannya bahawa jerebu asap rentas sempadan sederhana terus diperhatikan di bahagian Semenanjung Malaysia, Singapura, Kalimantan, Sarawak dan bahagian selatan Sumatera.
Banyak stesen kualiti udara di Semenanjung Malaysia, Singapura, Borneo dan Sumatera melaporkan tidak sihat ke tahap berbahaya, katanya. - Bernama