Singapura agih pelitup muka N95 jika jerebu makin teruk

Iklan
Pelitup muka N95 akan diberikan jika keadaan jerebu yang melanda Singapura makin teruk dan kualiti udara mencapai tahap 'sangat tidak sihat'. - Foto Agensi

SINGAPURA - Singapura akan mengedarkan pelitup muka N95 kepada rakyat yang layak terutamanya golongan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu atau mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkannya apabila kualiti udara mencapai tahap 'sangat tidak sihat'.

Menurut pasukan petugas jerebu pada Jumaat, tahap itu merujuk kepada bacaan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) antara 201 hingga 300.

Iklan
Iklan

Mesin layan diri pelitup muka turut disediakan di lokasi terpilih termasuk hab pengangkutan awam dan pejabat perkhidmatan sosial bagi melengkapkan usaha pengagihan itu.

Kualiti udara di seluruh negara menunjukkan sedikit peningkatan pada malam sebelumnya, namun masih berada pada tahap tidak sihat antara 125 dan 176 berdasarkan bacaan PSI bagi tempoh 24 jam pada awal pagi Sabtu.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kemampanan dan Sekitar, Grace Fu memaklumkan negara itu bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah sekiranya diperlukan susulan keadaan jerebu yang masih berlarutan.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia, Menteri Jumhur Hidayat selain menawarkan sokongan serta menghargai usaha berterusan pasukan pemadam api.

Iklan

“Mereka sedang berhempas-pulas untuk mengawal api daripada terus marak. Kami bersedia memberikan bantuan mengikut kemampuan,” katanya.

Beliau turut menyokong sebarang usaha di peringkat serantau untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama menangani isu jerebu.

“Kami prihatin terhadap kesejahteraan rakyat. Kami juga memantau keadaan dengan teliti dan telah menyediakan pelan tindakan serta sedia melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi melindungi kesihatan awam," jelasnya. - Agensi