Belanjawan 2027 beri tumpuan tangani isu kesesakan hospital kerajaan - Pakar

Iklan
Suntikan RM200 juta untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain adalah langkah jangka pendek yang berkesan bagi meredakan kesesakan dan memendekkan tempoh menunggu rawatan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan menawarkan jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 disifatkan sebagai tindakan tepat bagi mengatasi isu kesesakan dalam sistem kesihatan awam negara.

Pakar kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun kenaikan peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak begitu besar berbanding kadar inflasi perubatan, belanjawan kali ini kekal yang terbaik kerana berfokus kepada masalah teras di hospital kerajaan.

Iklan
Iklan

"Pelantikan tetap doktor kontrak secara besar-besaran dan perolehan peralatan yang konkrit secara langsung menangani bottleneck paling mendesak dalam sistem kesihatan. Walaupun kenaikan tidak tinggi, tetapi tugas KKM untuk beri tumpuan keutamaan,” katanya.

Dr Zainal Ariffin berkata, pelantikan tetap doktor kontrak serta peruntukan RM770 juta bagi perolehan peralatan moden menunjukkan komitmen nyata kerajaan dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan di lapangan.

Iklan

Beliau berkata, suntikan RM200 juta untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain juga merupakan langkah jangka pendek yang berkesan bagi meredakan kesesakan dan memendekkan tempoh menunggu rawatan.

Katanya, penambahan 400 ambulans baharu, naik taraf fasiliti hemodialisis serta penyediaan peralatan simulasi di 18 Kolej Latihan KKM akan memberi manfaat langsung kepada pesakit dan latihan petugas kesihatan.

Iklan

Selain itu, beliau menilai kenaikan elaun jawatan asas bagi 47,000 petugas kesihatan dan elaun perkhidmatan kesihatan udara sebagai pengiktirafan wajar terhadap kebajikan wira barisan hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan peruntukan KKM meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion pada 2026.  

Inisiatif lain merangkumi peruntukan RM1.2 bilion untuk menyelenggara hospital dan klinik daif serta pembinaan sembilan fasiliti kesihatan baharu di seluruh negara. - Bernama