Gempa bumi kuat gegarkan Panama, penduduk lari selamatkan diri

Iklan
Orang ramai bergegas keluar dari bangunan dan berkumpul di sepanjang jalan serta kawasan lapang. Foto Xinhua

PANAMA CITY – Penduduk bertempiaran keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri selepas gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud menggegarkan Panama pada Jumaat, disusuli lebih 40 gegaran susulan yang mencetuskan kebimbangan dan mengganggu beberapa perkhidmatan awam.

Menurut laporan Xinhua, gempa bumi yang melanda pada jam 12.56 tengah hari waktu tempatan itu turut menyebabkan bekalan air terganggu dan operasi penerbangan dihentikan sementara.

Iklan
Iklan

Institut Geosains Universiti Panama merekodkan gempa awal itu pada kedalaman empat kilometer.

Sehingga jam 5.30 petang waktu tempatan, lebih 40 gempa bumi direkodkan, termasuk lebih 12 gegaran bermagnitud melebihi 5.0.

Iklan

Satu lagi gempa bumi bermagnitud 6.9 turut berlaku pada jam 3.25 petang.

Penduduk mencari tempat perlindungan selepas gempa bumi kuat menggegarkan Panama pada Jumaat. Foto Xinhua

Iklan

Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada awalnya melaporkan gempa pertama bermagnitud 8.0 sebelum menyemak bacaan itu kepada 7.6 dan kemudian 7.7.

Di Panama City, orang ramai dilihat bergegas keluar dari bangunan dan berkumpul di sepanjang jalan serta kawasan lapang.

"Getarannya sangat, sangat kuat. Bangunan itu pun terhayun," kata Tina Smith yang berlindung di luar bangunan bersama rakan sekerjanya.

Seorang penduduk tempatan, Leonor Samudio berkata, latihan pemindahan kecemasan yang pernah dijalankan sebelum ini membantu kakitangan sebuah bank simpanan di Caja de Ahorros, bertindak ketika kejadian.

"Kami menunggu sehingga gegaran kuat reda sebelum mula keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan.

"Kami sedang menunggu arahan. Kami semua selamat," katanya.

Sebuah bangunan terjejas dalam kejadian gempa bumi yang melanda Panama pada Jumaat. Foto Xinhua

Seorang warga asing yang menetap di Panama City sejak lima tahun lalu, Amy berkata, beliau tidak pernah merasai gempa bumi sekuat itu sepanjang berada di negara berkenaan.

"Ini kali pertama saya terpaksa keluar dari bangunan kerana gempa bumi.

"Kami pernah mengalami gempa bumi pada Ogos lalu, tetapi gegarannya tidak sekuat ini," katanya.

Walaupun keadaan beransur reda selepas panik awal, gegaran susulan yang berulang menyebabkan ramai penduduk memilih untuk terus berada di luar bangunan.

Beberapa tempat awam ditutup, manakala kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di beberapa jalan raya.

Penduduk yang tinggal di bangunan tinggi juga dilaporkan bimbang untuk kembali ke kediaman masing-masing.

Presiden Panama, Jose Raul Mulino berkata, seluruh jentera kerajaan telah digerakkan dan beliau akan menyertai usaha tindak balas serta penyelarasan bantuan di kawasan yang paling teruk terjejas.

Tiada kematian atau individu dilaporkan hilang, meskipun beberapa orang mengalami kecederaan.

Gempa bumi berkenaan turut menjejaskan beberapa perkhidmatan awam, termasuk bekalan air.

Pihak berkuasa bekalan air dan pembetungan Panama memaklumkan gangguan bekalan elektrik akibat gempa bumi menyebabkan operasi beberapa loji rawatan air di seluruh negara terhenti atau beroperasi pada kapasiti lebih rendah.

Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen kembali beroperasi selepas perkhidmatan digantung sementara dan orang ramai dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak pengurusan lapangan terbang berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan yang menghalang operasi penerbangan..

Kawasan komersial lapangan terbang turut dibuka semula, manakala kakitangan imigresen dan kastam kembali bertugas.

Kementerian Pendidikan Panama pula membatalkan sesi persekolahan sebelah petang di seluruh negara serta menggantung operasi di pejabat pentadbirannya.

Pihak berkuasa turut mengaktifkan prosedur kecemasan dan memulakan pemeriksaan terhadap kemudahan bagi memastikan keselamatannya.

Berdasarkan senarai gempa bumi bermagnitud 7.0 atau lebih yang dikeluarkan USGS bagi 2026, kejadian di Panama itu merupakan gempa bumi kelima bermagnitud sekurang-kurangnya 7.0 yang melanda Amerika Latin pada tahun ini.

Sebelum ini, dua gempa bumi melanda Venezuela pada 24 Jun, diikuti satu kejadian di Mexico pada 17 Julai dan satu lagi di Colombia pada 10 Ogos.

Panama terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan sepanjang kira-kira 40,000 kilometer yang dikelilingi gunung berapi dan aktif dengan kegiatan seismik di sekitar Lautan Pasifik.

Agensi perlindungan awam Panama memaklumkan pihaknya sedang menilai keadaan kawasan berhampiran pusat gempa bagi mengenal pasti kemungkinan kerosakan.