IPOH - Bantuan persekolahan lebih tinggi dan penangguhan bayaran balik PTPTN disifatkan mampu meringankan beban kewangan keluarga serta graduan muda.
Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Muhammad Kamal Syukri Kamaruddin berkata, kenaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid dengan peruntukan RM1 bilion dapat membantu ibu bapa, khususnya golongan B40 dan M40, menampung kos keperluan sekolah.
Menurutnya, tambahan RM50 itu dapat meringankan perbelanjaan membeli pakaian seragam, kasut dan buku, terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak.
Beliau turut menyambut baik pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan Enam serta peruntukan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Katanya, penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah yang memanfaatkan lebih 400,000 graduan juga memberi ruang untuk mereka mengukuhkan kewangan selepas memasuki alam pekerjaan.
"Graduan baharu berdepan pelbagai komitmen termasuk sewa rumah, pengangkutan dan perbelanjaan harian. Tidak semua memperoleh pekerjaan bergaji tinggi sejurus tamat pengajian.
"Kerajaan perlu memastikan bantuan disalurkan tanpa kerenah birokrasi, manakala PTPTN menyediakan mekanisme permohonan penangguhan yang telus, pantas dan mesra pengguna," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, graduan universiti awam, Sharifah Shazfika Syed Mohamed Rahim, 24, berkata, kemudahan bayaran balik PTPTN perlu mengambil kira kemampuan sebenar graduan yang baru memulakan kerjaya.
Menurutnya, ada lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) bekerja di luar bidang, masih mencari pekerjaan selepas setahun tamat pengajian atau menerima gaji permulaan yang hampir habis untuk menampung kos sara hidup.
"Hutang pendidikan tidak sepatutnya menjadi beban ketika seseorang baru mahu membina kehidupan, tetapi tanggungjawab membayar pinjaman juga tidak boleh diketepikan.
"Sistem bayaran balik perlu fleksibel supaya graduan dapat membayar mengikut kemampuan tanpa menjejaskan peluang membina simpanan dan masa depan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ikon Belia Negara, Beh Zeng Kang berpandangan dasar gaji minimum perlu mengimbangi perlindungan pekerja dengan kemampuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menanggung kos operasi.
Katanya, sebarang pengecualian kepada PMKS berasaskan hasil jualan perlu mempunyai syarat kelayakan, tempoh dan mekanisme pemantauan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Beliau turut menegaskan bahawa gaji minimum sahaja tidak mencukupi untuk menangani isu gaji permulaan graduan, ketidakpadanan pekerjaan dan laluan kerjaya yang tidak jelas.
Justeru, dasar gaji progresif yang menghubungkan peningkatan pendapatan dengan kemahiran, pengalaman dan produktiviti perlu diperkukuh, selain pemantauan harga barangan bagi memastikan manfaat kenaikan gaji tidak terhakis akibat peningkatan kos sara hidup.