Belanjawan 2027: Bantuan bertambah, mampukah beban rakyat diringankan?

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.

BELANJAWAN 2027 yang berjumlah RM510 bilion membawa mesej jelas bahawa kerajaan mahu terus membantu rakyat, merancakkan ekonomi dan memastikan pembangunan negara dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Namun, sejauh mana segala peruntukan dan inisiatif yang diumumkan benar-benar mampu meringankan beban kehidupan rakyat.

Iklan
Iklan

Antara perkara yang pasti menarik perhatian ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion.

Langkah itu pastinya melegakan ramai terutama golongan berpendapatan rendah yang terpaksa berdepan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Iklan

Usaha memperluas penggunaan SARA ke pasar tani serta menambah 10,000 kedai runcit sebagai rakan niaga juga dilihat memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan.

Bagaimanapun, bantuan tunai bukanlah penyelesaian menyeluruh.

Iklan

Selagi harga barang terus meningkat dan kos kehidupan sukar dikawal, wang tambahan yang diterima mungkin hanya mampu bertahan untuk tempoh singkat.

Justeru, program Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI perlu dilaksanakan secara konsisten, bukan sekadar menjadi tawaran bermusim.

Pada masa sama, pengumuman kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 membawa harapan baharu kepada pekerja bergaji rendah.

Kenaikan itu amat dialu-alukan namun, kesannya perlu dilihat dari sudut kuasa beli sebenar. Jika harga barang, sewa rumah dan kos pengangkutan terus meningkat, kenaikan gaji mungkin tidak banyak mengubah keadaan kewangan isi rumah.

Perhatian kerajaan terhadap pekerja gig juga wajar diberikan pujian. Bantuan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta kemudahan pembiayaan boleh membantu golongan e-hailing dan p-hailing membuat persediaan menghadapi masa depan.

Bagi Sabah dan Sarawak, peruntukan masing-masing RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion memberi harapan kepada penduduk yang sekian lama menantikan kemudahan asas lebih baik.

Projek jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian internet bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya keperluan penting untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Namun, kemampuan memiliki rumah tetap bergantung pada harga rumah, pendapatan dan komitmen bulanan setiap keluarga.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 menawarkan pelbagai bantuan dan peluang yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Ukuran kejayaannya bukan sekadar jumlah wang yang diperuntukkan atau banyaknya inisiatif diumumkan tetapi benar-benar dirasai manfaatnya dalam kehidupan seharian.