TENKASI - Seorang wanita di Tamil Nadu, India tergamak membakar hidup-hidup dua anak lelakinya yang masih kecil sebelum mengambil nyawanya sendiri selepas suaminya didakwa menampar dan mengaibkannya di khalayak umum.
Kedua-dua kanak-kanak itu turut meninggal dunia akibat perbuatan ibu mereka.
Sebelum kejadian, Mariammal membawa dua anak lelakinya, Kabineswaran, 6, dan Rabineswaran, 4, ke sebuah kuil berhampiran untuk menghadiri pesta tarian tradisional.
Suaminya, Kalipandi, tiba di acara berkenaan dalam keadaan mabuk sebelum dia menampar Mariammal di hadapan orang ramai.
Selepas kejadian itu, Mariammal pulang ke rumah bersama kedua-dua anaknya.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati, wanita itu kemudiannya mengunci pintu rumah, membakar kedua-dua anaknya sebelum menyiram tubuhnya dengan minyak tanah lalu menyalakan api terhadap dirinya sendiri.
Polis Tamil Nadu telah membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan Kalipandi bagi mengetahui punca sebenar di sebalik kematian tragis tiga beranak tersebut.
Menurut polis, lelaki itu dipercayai kerap mengambil minuman keras dan bertindak di luar kawalan apabila berada di bawah pengaruh alkohol. - Agensi