Tsunami matahari: Bumi diancam ribut suria akhir minggu ini

Iklan
Letusan itu turut mencetuskan tsunami suria yang secara saintifik dikenali sebagai gelombang Moreton di atmosfera matahari. Foto Agensi

BUMI berpotensi dilanda siri ribut suria susulan letusan berkuasa di matahari termasuk gelombang besar plasma panas yang dikenali sebagai tsunami suria.

Fenomena cuaca angkasa itu boleh mencetuskan ribut geomagnet daripada tahap lemah hingga kuat, sekali gus meningkatkan peluang kemunculan aurora yang memukau di beberapa kawasan sepanjang hujung minggu ini.

Iklan
Iklan

Menurut ramalan cuaca angkasa, ramalan cuaca angkasa menjangkakan sehingga tiga lontaran jisim korona (CME) melanda bumi pada 9 dan 11 Oktober. Fenomena itu melibatkan pelepasan berbilion tan zarah bercas dan medan magnet ke angkasa lepas yang boleh mencetuskan ribut geomagnet apabila berinteraksi dengan medan magnet bumi.

Ribut yang dijangka berlaku berada pada tahap G1 iaitu kategori kecil hingga G3 yang diklasifikasikan sebagai kuat.

Iklan

Ia juga berpotensi meningkatkan kemungkinan aurora muncul di kawasan yang lazimnya tidak mengalami fenomena cahaya berwarna-warni itu. Namun, kemunculannya bergantung pada kekuatan dan orientasi medan magnet yang dibawa oleh lontaran berkenaan.

Aktiviti terbaharu itu bermula apabila tompok matahari 4549 kembali meletus pada 8 Oktober menghasilkan suar suria kelas M6.7.

Iklan

Suar kelas M dikategorikan sebagai letusan berkekuatan sederhana yang berpotensi mengganggu komunikasi radio dan meningkatkan kesan cuaca angkasa yang lain.

Letusan itu turut mencetuskan tsunami suria yang secara saintifik dikenali sebagai gelombang Moreton di atmosfera matahari. Gelombang besar plasma panas dan tenaga magnet itu bergerak pantas merentasi atmosfera matahari susulan letusan kuat.

Bahagian hadapan gelombang kejutan berkenaan boleh menjangkau kawasan yang jauh lebih luas daripada saiz bumi dan bergerak pada kelajuan melebihi 1.6 juta kilometer sejam.

Selain mencetuskan aurora, ribut geomagnet juga berpotensi menjejaskan satelit, sistem navigasi, komunikasi radio frekuensi tinggi dan, dalam keadaan lebih serius, rangkaian bekalan elektrik. - Agensi