PABNA - Bangladesh bersiap sedia melancarkan operasi loji tenaga nuklear pertamanya selepas projek yang mengalami kelewatan bertahun-tahun itu semakin hampir selesai, sekali gus mencetuskan harapan baharu untuk mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik yang berlarutan.
Bagaimanapun, pembinaan Loji Tenaga Nuklear Rooppur turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran kemudahan berkenaan terutamanya mengenai aspek keselamatan.
Projek bernilai AS$13 bilion (RM53 bilion) dengan kapasiti 2.4 gigawatt itu dibangunkan sejak lebih sedekad lalu dengan kerjasama syarikat tenaga nuklear milik Rusia, Rosatom.
Apabila beroperasi sepenuhnya, dua reaktor loji tersebut dijangka membekalkan lebih 10 peratus keperluan elektrik di Dhaka yang berpopulasi kira-kira 170 juta penduduk.
Negara Asia Selatan itu kini berdepan tekanan bekalan tenaga susulan krisis bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Pengarah Urusan Nuclear Power Plant Company Bangladesh, Md Zahedul Hasan berkata, reaktor pertama dijadualkan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini manakala reaktor kedua dijangka menyusul dalam tempoh setahun. Loji berkenaan terletak di tebing Sungai Padma, kira-kira 150 kilometer ke barat Dhaka.
Menurutnya, projek itu merupakan kemuncak aspirasi Bangladesh sejak beberapa dekad lalu untuk membangunkan tenaga nuklear bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Pembinaan loji tersebut turut mengubah landskap ekonomi kampung Rooppur yang sebelum ini merupakan kawasan luar bandar yang tenang.
Kehadiran ribuan pekerja dari Moscow menyaksikan pembangunan kawasan kediaman, restoran dan premis perniagaan baharu, malah papan tanda dalam bahasa Rusia kini menjadi pemandangan biasa.
Seorang juruteknik pemasangan Rusia, Alexander Vladimirovich Skvortsov yang berpindah bersama keluarganya pada 2024 mengakui projek berkenaan memberikan pengalaman besar dalam kehidupannya.
“Sejujurnya, Rooppur telah mengubah diri dan kehidupan saya,” katanya.
Penduduk tempatan turut menikmati peluang ekonomi baharu termasuk Md Emon Khan, 28, yang meninggalkan pekerjaan di kilang pakaian di Dhaka untuk membuka perniagaan menjual buah-buahan dan sayur-sayuran kepada pekerja loji.
Namun, pembangunan itu turut menimbulkan keraguan dalam kalangan sebahagian penduduk.
Seorang pesara pekerja kilang kertas, Md Yunus Ali, 80, yang tinggal berhampiran loji tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarganya.
“Beberapa hari lalu, ujian pemampat menghasilkan bunyi letupan kuat sehingga kanak-kanak ketakutan.
“Usia saya sudah lanjut dan tidak takut kehilangan nyawa, tetapi saya mempunyai anak dan cucu. Apa yang saya mahukan hanyalah mereka selamat,” katanya.
Pihak pengurusan loji bagaimanapun menegaskan bahawa langkah keselamatan yang ketat telah dilaksanakan dengan mengambil iktibar daripada kemalangan nuklear yang berlaku sebelum ini.
Projek itu, yang dimulakan pada 2017 susulan perjanjian dengan Rusia pada 2015, berdepan beberapa kelewatan akibat pandemik Covid-19 serta sekatan yang dikenakan terhadap Moscow susulan pencerobohan Ukraine.