'Sedekad penuh ketidakpastian berakhir' - Hartal Doktor Kontrak

Iklan
Tangkap layar kenyataan media Hartal Doktor Kontrak yang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

SHAH ALAM - Pengumuman Belanjawan 2027 berhubung lebih 9,000 doktor kontrak bakal ditawarkan ke jawatan tetap pada tahun hadapan menandakan satu titik perubahan penting buat warga perubatan negara.

Hartal Doktor Kontrak berkata, sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2016, ribuan doktor terpaksa mengharungi fasa ketidakpastian selama bertahun-tahun, malah ramai memilih untuk meninggalkan perkhidmatan awam demi mencari peluang dan masa depan yang lebih terjamin.

Iklan
Iklan

Menurut kumpulan tersebut, berita positif itu hadir sebagai sinar harapan yang lama dinantikan selepas hampir sedekad dibelenggu ketidakpastian kerjaya dan ketidakjaminan masa depan.

"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani atas iltizam politik untuk menangani isu yang sekian lama membebani profesion perubatan.

Iklan

"Keberanian dan kepimpinan diperlukan untuk merintis perubahan terhadap sistem yang berlarutan selama sedekad demi menjamin masa depan yang lebih adil buat para doktor," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, pihaknya menyedari pengumuman sedemikian masih di peringkat permulaan sepertimana turut ditekankan oleh Persatuan Perubatan Malaysia-Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (MMA-Schomos).

Iklan

Hartal Doktor Kontrak berpandangan, kejayaan sebenar komitmen bergantung kepada keberkesanaan pelaksanaan, ketelusan proses dan hasil yang dapat dirasai oleh golongan sasar.

"Garis masa pelaksanaan jelas, kriteria kelayakan yang adil dan pengiktirafan sewajarnya terhadap doktor yang bertahun-tahun berkhidmat secara kontrak amat penting bagi memastikan tiada sesiapa pun tercicir.

"Penamatan sistem doktor kontrak juga perlu menjadi sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk menambah baik keadaan kerja, memperkukuh laluan kemajuan kerjaya dan mengekalkan doktor berpengalaman dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara," ujarnya.

Hartal Doktor Kontrak dalam masa sama melihat pengumuman berkenaan sebagai menyemarakkan harapan, namun pelaksanaan mesti membuktikan makna sebenar di sebaliknya.

"Setelah sepuluh tahun, doktor-doktor terlalu lama menanti.

"Mereka berhak mendapat lebih daripada sekadar janji dan menikmati sistem yang menjamin keadilan, kestabilan kerjaya dan maruah profesion," tegas kumpulan itu lagi.