SHAH ALAM - QSR Brands (M) Holdings Bhd menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 yang dilihat memberi penekanan berterusan terhadap kesejahteraan rakyat sebagai teras agenda pertumbuhan ekonomi di negara ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Bhd, K Nehchal berkata, pihaknya menyifatkan langkah-langkah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selari dengan komitmennya iaitu menawarkan nilai terbaik kepada pelanggan, di samping membina perniagaan yang berdaya tahan serta produktif.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan kepada RM16 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut dialu-alukan, selain pelepasan cukai pendapatan individu bersasar untuk golongan berpendapatan sederhana.
"Inisiatif ini penting dalam mengekalkan kuasa beli isi rumah, sekali gus memberikan kestabilan ekonomi yang diperlukan.
"Langkah ini melengkapi usaha berterusan QSR Brands dalam menyediakan hidangan pada harga berpatutan dan mudah diakses, termasuk Menu Rahmah KFC di bawah inisiatif Payung Rahmah agar keperluan pengguna yang sentiasa berubah-ubah terus dipenuhi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Nehchal menambah, QSR Brands selaku syarikat tempatan menyokong penekanan kerajaan terhadap usaha meningkatkan pendapatan dan memacu produktiviti secara serentak.
"Bagi perniagaan seperti kami, pertumbuhan gaji yang mampan perlu seiring dengan peningkatan kecekapan operasi.
"QSR Brands sedang mempercepatkan pelaburan data dan penyelesaian digital bagi memperkemas operasi serta meningkatkan penglibatan pelanggan melalui pendekatan yang lebih bersasar.
"Usaha ini penting dalam merealisasikan transformasi untuk kami menjadi syarikat teknologi makanan terkemuka di ASEAN," ujarnya lagi.
Pada masa sama, kata Nehchal, tumpuan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan bakat dan kemahiran, termasuk peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluasan peluang latihan menerusi HRD Corp memainkan peranan yang amat penting.
Dengan rakyat Malaysia merangkumi lebih 90 peratus daripada tenaga kerja, jelas beliau, QSR Brands akan terus memberikan komitmen tinggi terhadap inisiatif peningkatan kemahiran pekerja.
"Misalnya menerusi Program Biasiswa KFC untuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, Program Latihan dan Penempatan Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta Program Ijazah Mikrokredential tajaan penuh bersama Universiti Sains Malaysia (USM).
"Kami juga mengalu-alukan peruntukan strategik demi memperkukuhkan produktiviti sektor pertanian domestik agar negara dapat membangunkan rantaian bekalan makanan yang lebih berdaya tahan," jelas beliau.