SHAH ALAM - Pembentangan Belanjawan 2027 perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya sejauh mana ia mampu menjawab keperluan dan realiti kehidupan rakyat.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, terdapat enam perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam menilai keberkesanan belanjawan berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Jerantut itu, perkara pertama ialah keharmonian hidup rakyat dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai benar-benar dapat dirasai melalui peningkatan pendapatan serta pengurangan tekanan kos sara hidup.
"Pertumbuhan ekonomi tidak memadai jika pendapatan sebenar rakyat masih terhimpit dengan kos sara hidup.
"Ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri, produktiviti yang perlu dipertingkat dan cabaran menuju negara berpendapatan tinggi mesti ditangani secara serius," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion ketimbang RM470 bilion.
Beliau berkata, jumlah berkenaan meliputi RM376.8 bilion belanja mengurus Persekutuan, RM83 bilion belanja pembangunan Persekutuan dan RM25 bilion pelaburan Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, perhatian seharusnya turut diberikan kepada beban golongan 'generasi sandwich' serta keperluan masyarakat yang semakin menua, termasuk aspek sistem pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, aspek kedua ialah keselamatan hidup rakyat yang perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya berkaitan jenayah dan penguatkuasaan.
"Perubahan iklim juga memerlukan penambahbaikan pengurusan risiko bencana dalam menghadapi fenomena El Nino, peningkatan suhu global, cuaca ekstrem dan ancaman jerebu," katanya.
Tambah Khairil Nizam, keselamatan sempadan negara juga perlu diperkukuh bagi membendung kegiatan penyeludupan, kemasukan dadah serta aktiviti rentas sempadan yang boleh mengancam kedaulatan dan keselamatan rakyat.
Dalam pada itu, beliau menggesa aspek pendidikan diberi perhatian dengan memastikan sistem pendidikan tidak hanya berorientasikan penghasilan graduan, sebaliknya membina insan berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
"Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mesti diperkasa, manakala pencapaian seperti PISA perlu dinilai bersama keupayaan sistem pendidikan melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak," katanya.
Menyentuh aspek tenaga, beliau berkata, peralihan kepada tenaga bersih perlu dirancang secara realistik dengan mengambil kira keterjaminan bekalan, kemampuan rakyat membayar kos tenaga serta daya saing industri negara.
Bagi aspek kelima iaitu fiskal federalisme, Khairil Nizam berkata, kerangka sistem fiskal berpusat perlu dinilai semula bagi memastikan pengagihan sumber antara Kerajaan Persekutuan dan negeri lebih adil.
"Hubungan fiskal Persekutuan dan negeri perlu dinilai dari sudut keadilan pengagihan sumber, keupayaan negeri membiayai pembangunan serta jurang kemudahan asas antara wilayah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembangunan sektor pengangkutan juga perlu menekankan aspek ketersambungan wilayah, keselamatan dan keselesaan pengguna.
Katanya, kos pengangkutan khususnya penerbangan ke Sabah dan Sarawak wajar diberi perhatian, selain usaha meningkatkan keselamatan jalan raya serta penyediaan infrastruktur pengangkutan yang selesa dan selamat.
Menurut Khairil Nizam, ukuran sebenar sesebuah belanjawan bukan sekadar berapa banyak wang dibelanjakan, tetapi sejauh mana ia membantu rakyat, meningkatkan pendapatan, membuka peluang, memperbaiki kemudahan asas dan menjamin masa depan generasi akan datang.
"Belanjawan yang baik bukan hanya kelihatan besar di atas kertas, tetapi mesti memberikan perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat," katanya.