Belanjawan 2027: MMA gesa komitmen lebih besar tangani kekurangan pakar

Iklan
Malaysia berdepan kekurangan hampir 11,000 pakar, manakala peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dan populasi yang semakin menua dijangka meningkatkan permintaan terhadap rawatan pakar. Foto hiasan

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap komitmen lebih besar dapat diberikan bagi mengekalkan tenaga kerja kesihatan dan menangani kekurangan pakar yang kritikal.

Presidennya, Dr L Sivanaesan berkata, Malaysia berdepan kekurangan hampir 11,000 pakar, manakala peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dan populasi yang semakin menua dijangka meningkatkan permintaan terhadap rawatan pakar.

Iklan
Iklan

“Kita tidak mampu kehilangan lebih ramai pakar ketika kita amat memerlukan usaha untuk melatih dan mengekalkan lebih ramai daripada mereka.

“Pelaburan yang lebih besar diperlukan bagi memperluas peluang latihan kepakaran dan subkepakaran, menambah baik perkembangan kerjaya, memastikan imbuhan yang adil serta menangani keadaan kerja yang mendorong doktor berpengalaman meninggalkan perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, MMA mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk menamatkan sistem doktor kontrak dengan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027, selain jaminan pelantikan tetap kepada doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah perubatan (housemanship).

Menurutnya, langkah itu merupakan pencapaian penting dan memenuhi salah satu tuntutan lama MMA.

Iklan

“Kami memuji kerajaan kerana mengambil langkah penting ini ke arah memberikan jaminan pekerjaan dan kepastian hala tuju kerjaya yang lebih baik kepada doktor muda.

“MMA turut mengalu-alukan peningkatan keseluruhan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion pada 2026,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan tetap merupakan langkah penting ke hadapan, namun perlu disokong strategi menyeluruh bagi mengekalkan tenaga kerja kesihatan.

Katanya, penamatan sistem doktor kontrak tidak seharusnya menjadi titik akhir usaha untuk memperkukuh tenaga kerja kesihatan.

“Kami juga berharap peruntukan mencukupi disediakan bagi menangani kekurangan tenaga kerja yang kritikal di Sabah dan Sarawak, termasuk melalui insentif lebih baik, keadaan kerja yang lebih kondusif dan peluang pembangunan kerjaya.

“MMA mengulangi gesaan supaya kaedah Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan seperti yang digunakan sebelum ini dikembalikan.

“MMA turut mengalu-alukan peningkatan insentif bagi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar baharu itu masih tidak mencukupi dan tidak mencerminkan realiti semasa, keadaan kerja yang mencabar serta risiko keselamatan besar yang dihadapi petugas kesihatan ketika berkhidmat kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Menurutnya, petugas berkenaan berhak menerima pampasan setimpal dengan cabaran dan risiko yang dihadapi.

“Kami menggesa kerajaan supaya mengkaji semula kadar insentif itu dengan lebih lanjut serta mengutamakan pelaburan dalam aspek keselamatan operasi, penyelenggaraan pesawat dan perlindungan petugas.

“MMA turut mengalu-alukan pelaburan dalam peralatan perubatan, pendigitalan penjagaan kesihatan serta kerjasama antara sektor awam dengan swasta.

“Bagaimanapun, peruntukan RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan hospital dan klinik kekal tidak berubah berbanding 2026. Memandangkan kemudahan yang semakin berusia dan keperluan penyelenggaraan yang semakin meningkat, MMA berharap peruntukan lebih tinggi dapat disediakan,” katanya.

Beliau berkata, penekanan lebih besar juga perlu diberikan kepada usaha memperkukuh penjagaan kesihatan primer bagi mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat.

Katanya, rangkaian pengamal perubatan am swasta yang luas di Malaysia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan sepatutnya memainkan peranan lebih besar dalam pencegahan penyakit, pengesanan awal serta pengurusan penyakit jangka panjang.

“Pengukuhan penjagaan kesihatan primer amat penting bagi mengurangkan kemasukan ke hospital yang boleh dielakkan dan mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan pakar.

“Akhirnya, kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur bukan sekadar berdasarkan peruntukan yang diumumkan, tetapi juga melalui penambahbaikan dalam penjagaan pesakit, tempoh menunggu, pengekalan tenaga kerja dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“MMA mengulangi gesaannya supaya satu papan pemuka kebangsaan bagi pengagihan tenaga kerja kesihatan diwujudkan untuk meningkatkan ketelusan berhubung jumlah kakitangan dan kekurangan tenaga kerja di setiap hospital serta klinik awam,” katanya.

Menurutnya, langkah itu akan membolehkan perancangan tenaga kerja yang lebih baik dan membantu memastikan sumber disalurkan ke lokasi yang paling memerlukannya.

Beliau berkata, MMA menghargai usaha kerajaan dan mengakui kekangan fiskal yang dihadapi negara.

“Bagaimanapun, pelaburan dalam sektor kesihatan perlu seiring dengan peningkatan permintaan akibat populasi yang semakin menua dan beban penyakit yang semakin meningkat.

“MMA kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan Belanjawan 2027 membawa penambahbaikan yang bermakna dan berkekalan kepada sistem penjagaan kesihatan Malaysia,” katanya.