MMM, CMCF gariskan enam panduan liputan saat kedukaan

Iklan
Majlis Media Malaysia (MMM)

SHAH ALAM- Majlis Media Malaysia (MMM) dan Content Forum Malaysia (CMCF) menggariskan enam panduan terhadap pengamal media, pencipta kandungan dan orang awam ketika membuat liputan ataupun berkongsi kandungan berkaitan saat kedukaan.

MMM dan CMCF menerusi kenyataan bersama berkata, panduan itu termasuk memberi ruang sewajarnya kepada individu dan keluarga sedang berduka khususnya ketika upacara pengebumian, bacaan doa, urusan pengkebumian dan saat-saat peribadi lain untuk meratapi kehilangan.

Iklan
Iklan

Kenyataan tersebut turut menyatakan, panduan lain perlu diikuti adalah mengelakkan rakaman atau pengambilan gambar mengganggu atau menceroboh privasi, khususnya dalam keadaan seseorang individu sewajarnya mengharapkan privasinya dihormati.

“Pihak terbabit juga perlu menghormati permintaan keluarga atau wakil mereka supaya rakaman, pengambilan gambar atau perkongsian kandungan dihentikan, selain mengelakkan penggunaan gambaran sensasi atau spekulatif mengenai keadaan emosi seseorang individu.

Iklan

“Antara panduan lain, mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkongsi semula atau memperluas penyebaran gambar dan video yang bersifat peribadi atau boleh menimbulkan kesedihan, walaupun kandungan tersebut telah pun tersebar dalam talian,” katanya pada Jumaat.

Menurutnya, saranan tersebut sebagai satu penilaian sama ada penerbitan atau perkongsian sesuatu kandungan benar-benar menyumbang kepada pemahaman masyarakat terhadap sesuatu isu atau sekadar mendedahkan saat kedukaan yang bersifat peribadi kepada perhatian umum.

Iklan

Sebelum ini, anak kepada Tun Dr Mahathir, Datuk seri Mukhriz Mahathir merayu orang ramai agar memberi ruang dan masa kepada bapanya untuk melalui tempoh dukacita selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Justeru itu, MMM dan CMCF mengingatkan, kebebasan untuk melaporkan, merakam dan berkongsi kandungan hadir bersama tanggungjawab untuk membuat pertimbangan yang wajar.

“Kepentingan awam dan rasa empati bukanlah dua perkara yang bercanggah, sebaliknya kedua-duanya boleh dan sewajarnya berjalan seiring,” katanya.

Ujarnya, dalam persekitaran digital hari ini gambar atau video daripada peranti peribadi mahupun akaun media sosial boleh tersebar dengan pantas kepada umum.

Tegasnya, semua pihak terlibat perlu mempertimbangkan maruah dan privasi individu yang terkesan, serta sama ada penyebaran lanjut kandungan tersebut benar-benar memenuhi kepentingan awam.