KUALA LUMPUR – Kumpulan AmBank berpandangan Belanjawan 2027 menjadi pelan yang praktikal untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar, di samping meneruskan agenda pembaharuan fiskal serta memberikan sokongan kepada isi rumah dan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, belanjawan yang dibentangkan kerajaan berjaya mengekalkan keseimbangan antara usaha merangsang pertumbuhan ekonomi dan tanggungjawab fiskal negara.
Menurut beliau, belanjawan itu juga memberi keyakinan lebih besar kepada pengguna dan komuniti perniagaan untuk merancang perbelanjaan serta pelaburan pada masa hadapan.
“Ini adalah belanjawan yang mengekalkan kesinambungan secara berdisiplin. Ia menyokong pertumbuhan tanpa mengabaikan tanggungjawab fiskal.
“Ia juga memberikan keyakinan yang lebih besar kepada isi rumah dan perniagaan untuk merancang, berbelanja dan melabur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, selain menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.
AmBank berpandangan langkah peningkatan bantuan tunai, pelepasan cukai serta inisiatif berkaitan gaji akan membantu melindungi kuasa beli rakyat dan terus menyokong penggunaan swasta.
Bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peningkatan jaminan pembiayaan menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC) sebanyak RM2 bilion kepada RM32 bilion dilihat mampu memperluaskan akses kepada pembiayaan serta merangsang pertumbuhan perniagaan.
Menurut Jamie, inisiatif yang memberi tumpuan kepada automasi, pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut membantu syarikat mengurangkan kos operasi serta meningkatkan produktiviti.
“Peningkatan gaji dan produktiviti perlu bergerak seiring. Perniagaan memerlukan pembiayaan, teknologi dan kemahiran agar pembayaran gaji yang lebih baik dapat dikekalkan secara mampan,” katanya.
Beliau berkata, langkah pelaburan yang memberi tumpuan kepada sektor strategik, dana usaha niaga, infrastruktur digital, peralihan tenaga dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau.
Tambahnya, kejayaan inisiatif tersebut bukan sahaja diukur melalui jumlah pelaburan yang masuk, tetapi juga keupayaannya mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan membangunkan keupayaan baharu dalam ekonomi negara.
Dalam pada itu, AmBank menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pelanggan, rakan industri dan institusi awam bagi memastikan keutamaan yang digariskan dalam Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan kepada pelaburan baharu, pertumbuhan perniagaan yang lebih kukuh serta keterangkuman kewangan yang lebih meluas.