SHAH ALAM – Peruntukan sebanyak RM1.1 bilion kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta beberapa agensi penguatkuasaan lain akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi membanteras penyeludupan, mengekang ketirisan hasil serta melindungi kepentingan ekonomi negara.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap usaha memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan.
"Peruntukan ini akan meningkatkan kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi JKDM dalam membanteras penyeludupan, mengekang ketirisan hasil dan melindungi kepentingan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat mengumumkan peruntukan RM1.1 bilion itu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Peruntukan itu turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Dalam perkembangan berkaitan, Amran berkata, pihaknya turut mempergiat penguatkuasaan terhadap premis perniagaan warga asing yang disyaki tidak mematuhi undang-undang dan terbabit dalam penyelewengan cukai.
"Usaha itu dilaksanakan menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Pasukan Petugas Khas Kementerian Kewangan, selain operasi berasingan oleh JKDM.
"Menerusi operasi sepanjang Julai hingga Ogos 2026 di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Johor, JKDM merampas sebanyak 429,526 batang rokok dan 7,773.93 liter minuman keras," katanya.
Jelasnya, rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan barangan termasuk duti dan cukai sebanyak RM715,695.26.
"Selain itu, seramai 23 individu turut ditahan bagi membantu siasatan menerusi penguatkuasaan yang dijalankan.
"Tndakan itu merupakan antara usaha berterusan jabatan berkenaan untuk melindungi hasil negara dan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang," katanya.
Tambahnya, JKDM menyambut baik langkah kerajaan memberikan pengecualian duti dan cukai kepada masyarakat, pemain industri serta peniaga seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 bagi merangsang aktiviti ekonomi.
"JKDM turut menghargai pengumuman Bantuan Khas sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam yang disifatkan sebagai sokongan terhadap kebajikan warga perkhidmatan awam," katanya.
Amran berkata, JKDM akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan penguatkuasaan, penggunaan teknologi serta peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2027 mencapai matlamatnya.
Beliau berkata, seluruh warga JKDM akan terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan ketegasan demi pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.