Belanjawan 2027: Iktiraf usaha Pulau Pinang bangunkan pusat kewangan teknologi negara

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Pengiktirafan menerusi Belanjawan 2027 terhadap usaha Pulau Pinang membangunkan Penang Technology Financial Centre (PTFC) dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi berasaskan teknologi bernilai tinggi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan itu merupakan perkembangan positif dalam usaha negeri berkenaan meneroka peluang baharu bagi memperkukuh ekosistem teknologi khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga bertujuan meningkatkan nilai tambah industri tempatan, sekali gus menyokong peralihan ekonomi kepada sektor teknologi maju dan berasaskan pengetahuan.

“Kerajaan negeri telah menghantar Kertas Putih PTFC kepada Kementerian Kewangan pada 23 September lalu.

Iklan

“Langkah seterusnya adalah mengemukakan PTFC Strategic Blueprint dan PTFC Action Plan menjelang November ini bagi memperincikan hala tuju, strategi pelaksanaan serta tindakan yang diperlukan untuk merealisasikan inisiatif berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan pengumuman Belanjawan 2027, kerajaan negeri akan meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi menubuhkan PTFC Federal-State Joint Committee.

Iklan

Katanya, jawatankuasa bersama itu penting untuk menyelaras perancangan, memperincikan mekanisme pelaksanaan dan menggerakkan tindakan susulan secara bersepadu antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Menurut beliau, pembangunan PTFC juga selari dengan hala tuju Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

"Usaha itu turut merangkumi pembangunan keupayaan teknologi tempatan yang lebih maju dan berdaya saing bagi memastikan Malaysia mampu memainkan peranan lebih besar dalam industri berkenaan," ujarnya.

Kon Yeow menambah, PTFC berpotensi memberikan manfaat strategik kepada ekonomi negara melalui tiga hasil utama termasuk memperkukuh industri pembuatan tempatan yang menyokong sektor E&E dan semikonduktor.

Katanya lagi, inisiatif itu juga mampu meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk berkembang dalam rantaian nilai teknologi yang lebih tinggi selain membuka peluang baharu dalam bidang teknologi maju, inovasi dan pembangunan industri berasaskan pengetahuan.

“PTFC turut berpotensi menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk membangunkan serta memiliki harta intelek (IP) dan keupayaan teknologi sendiri khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan teknologi mendalam.

“Usaha ini penting ke arah merealisasikan visi ‘Made by Malaysia’,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan PTFC dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi baharu, pengukuhan industri tempatan serta peningkatan daya saing Malaysia dalam landskap teknologi global.