Mayat remaja tepi semak: Ibu harap pelaku dikenakan hukuman setimpal

Iklan
Jenazah Muhammad Haikal dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB untuk dikebumikan pada Khamis. Gambar kecil: Muhammad Haikal

ALOR SETAR - Keluarga kepada remaja yang ditemukan maut dalam keadaan terbaring di tepi semak dekat Jalan Harvard - Gurun disyaki dibunuh pada Khamis, mengharapkan pelaku dalam kes terbabit dikenakan hukuman setimpal.

Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, yang gagal dihubungi sejak sebulan lalu itu akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.

Iklan
Iklan

Keluarga tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah Muhammad Haikal di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar.

"Polis datang rumah dan menunjukkan gambar mayat untuk tujuan pengecaman, lemah badan saya apabila mendapati mayat itu adalah anak saya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Khamis.

Iklan

Azura berkata, sudah terputus khabar berita dengan arwah sejak bulan lalu dan tidak tahu mengapa anaknya itu gagal dihubungi.

"Kali terakhir jumpa bulan lepas, kami memang tak ada apa-apa masalah. Saya memang tak tahu sebab apa dia menghilangkan diri.

Iklan

"Sebelum ini di rumah, dia okay sahaja. Dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Saya memang tak tahu apa yang berlaku sampai jadi macam ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Azura berkata, suaminya pernah menerima WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200, namun tidak mengetahui tujuan permintaan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 20-an ditemukan orang awam di lokasi kejadian kira-kira jam 8 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian muka dan kepala mangsa.

Bagaimanapun, ketika itu, identiti mangsa yang berpakaian sukan warna hitam dan kuning itu masih belum dapat dikenal pasti.