KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belanjawan Madani Kelima meneruskan dasar fiskal mengembang dengan mendaya guna seluruh kekuatan negara keseluruhannya berjumlah RM510 bilion ketimbang RM470 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah berkenaan meliputi RM376.8 bilion belanja mengurus Persekutuan, RM83 bilion belanja pembangunan Persekutuan dan RM25 bilion pelaburan Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
"Jumlah berkenaan termasuk RM11 bilion pelaburan awam-swasta, RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, krisis Asia Barat meningkatkan subsidi bahan api hingga RM40 bilion.
Menurutnya, defisit fiskal 2026 kini diunjur pada 3.6 peratus, ketimbang sasaran asal 3.5 peratus.
"Namun, kadar ini kekal dalam jalur menurun daripada 5.5 peratus (2022) dan 3.7 peratus tahun lalu. Insya-Allah, defisit 2027 akan turun lagi kepada 3.3 peratus, menuju sasaran 3 peratus menjelang 2028.
"Hasil penurunan defisit dan jumlah hutang baharu yang terkawal membolehkan tahap hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK turun secara konsisten iaitu 65.2 peratus (2025), 64.0 peratus (2026) dan dijangka 63.7 peratus (2027)," katanya.