Belanjawan 2027: Cukai PMKS turun

Iklan
Kerajaan bersetuju menurunkan kadar cukai pendapatan bagi PMKS sebanyak satu mata peratusan. - gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju menurunkan kadar cukai pendapatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebanyak satu mata peratusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu mengambil kira keresahan dalam kalangan usahawan berikutan peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung.

Iklan
Iklan

"Kadar bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama akan diturunkan kepada 14 peratus, kadar bagi pendapatan bercukai bagi banjaran RM150,000 hingga RM600,000 pula akan diturunkan kepada 16 peratus.

"Ini bermakna pendapatan tambahan kepada 300,000 PMKS hingga RM6,000," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan turut mencadangkan beberapa langkah cukai.

Menurutnya, langkah berkenaan meliputi had nilai setiap aset kecil yang layak mendapat elaun modal dinaikkan kepada RM3,000. 

Iklan

"Bagi syarikat selain PMKS, had keseluruhan tuntutan dinaikkan kepada RM30,000. 

"Pengilang boleh menuntut semula cukai jualan bagi mesin, alat ganti dan peralatan yang dibeli daripada pedagang atau pengedar tempatan.

"Kemudahan ini termasuk bahan mentah untuk menghasilkan produk farmaseutikal, makanan ternakan, baja dan racun perosak," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan produktiviti syarikat tempatan, Elaun Modal Dipercepatkan bagi perbelanjaan loji dan jentera tempatan serta peralatan dan perisian ICT dilanjutkan hingga 31 Disember 2030.

Ujarnya, kerajaan juga mencadangkan perjanjian menggunakan lebihan kredit yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030 dikenakan duti setem hanya RM10 bagi membantu aliran tunai PMKS melalui fasiliti kredit yang disediakan bank kepada Syarikat Peringkat Pertengahan. 

"Duti setem hanya RM10 bagi perjanjian pinjaman melalui platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

"Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas pembukaan akaun simpanan dan akaun semasa mulai 1 Januari 2027," katanya.