KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi menerusi Belanjawan 2027 dengan jumlah hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu antara lain bagi memperkukuh sektor pendidikan negara, termasuk menaik taraf kemudahan sekolah, membaik pulih prasarana dan menampung pertambahan murid.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menggandakan peruntukan bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah kepada RM2 bilion berbanding RM1 bilion sebelum ini.
"Peningkatan ini bermakna peruntukan bagi sekolah kebangsaan naik kepada RM900 juta, manakala peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) naik kepada RM100 juta.
"Peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) naik kepada RM50 juta. Kendatipun jumlah murid di SJKT relatif lebih kecil, keadaan prasarana sekolah yang daif menuntut perhatian segera,"katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, peruntukan bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut dinaikkan kepada RM200 juta.
Menurutnya, skop peruntukan itu akan diperluas bagi merangkumi bantuan operasi institusi berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan, hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, kerajaan turut mengambil kira pertambahan murid apabila hampir 500,000 kanak-kanak dijangka memasuki Tahun Satu pada tahun hadapan, termasuk lebih 70,000 murid berusia enam tahun.
Justeru, beliau memberitahu, sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini menerusi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menampung pertambahan itu.
Selain itu, katanya, kerajaan akan membina sekolah baharu, bangunan prasekolah serta menyediakan kemudahan tambahan di sekolah sedia ada.
"Antara projek yang dirancang ialah pembinaan SK Seri Chemor di Ipoh, Perak; Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor; pembinaan gantian penuh SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor; SJKC Bandar Mahkota Cheras serta bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah," ujarnya lagi.
Anwar memaklumkan, sebuah kolej matrikulasi baharu sedang dibina di Marang, Terengganu.