Raih pahala sebar kefahaman zakat, wakaf

Iklan
DR ZULKIFLI (dua dari kiri) menyampaikan trofi dan cek cura kepada Editor Sinar Islam Plus, Muhamad Tarmize Mohd Nor (dua dari kanan).

DALAM dunia yang dibanjiri lambakan maklumat, peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, sebaliknya menjadi benteng penting dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat yang benar, tepat dan sahih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, keperluan terhadap media yang berkesan kini bukan lagi perkara sampingan, sebaliknya menjadi satu kewajipan kepada setiap agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, dunia hari ini merupakan dunia komunikasi yang menyaksikan organisasi yang gagal berkomunikasi secara berkesan berisiko ketinggalan meskipun mempunyai prestasi dan pencapaian cemerlang.

“Cabaran semakin besar apabila berita palsu didapati lebih pantas tersebar berbanding maklumat sahih, sekali gus menuntut komitmen media untuk terus mempertahankan kebenaran.

Iklan

“Kajian Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat mendapati berita palsu berupaya mencapai capaian sehingga 1,500 orang dan ia enam kali lebih pantas berbanding berita benar, selain mempunyai kebarangkalian 70 peratus lebih tinggi untuk dikongsi semula.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman.

Iklan

Justeru, Dr Zulkifli mengingatkan pengamal media supaya tidak berasa lelah atau berputus asa dalam menyampaikan maklumat yang sahih meskipun berdepan pelbagai cabaran.

DR ZULKIFLI

Ini kerana katanya, usaha menyebarkan kebenaran bukan sekadar tanggungjawab profesional, malah berpotensi menjadi amal soleh yang membawa ganjaran berpanjangan.

Media penggerak kesedaran zakat, wakaf

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha PPZ-MAIWP mengajak masyarakat menunaikan zakat dan berwakaf perlu bermula dengan kefahaman.

Katanya, masih ramai individu mempunyai persoalan berkaitan kewajipan zakat, kaedah pengiraan serta tanggungjawab yang perlu disempurnakan sebelum melaksanakan ibadah berkenaan.

“Pendekatan ini membolehkan penerangan mengenai zakat dan wakaf disampaikan secara lebih dekat dengan kehidupan seharian masyarakat,” jelasnya.

Dr Zulkifli turut mengingatkan pengamal media bahawa setiap penulisan atau penerangan yang menjadi asbab seseorang melakukan kebaikan mempunyai nilai ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT sama seperti orang melaksanakannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

PETUGAS media diberi penghargaan PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut beliau, hadis tersebut memberikan gambaran bahawa usaha menyampaikan ilmu dan mengajak manusia melakukan kebaikan juga mempunyai ganjaran yang besar.

“Kebaikan itu akhirnya berkembang melalui orang yang mendapat manfaat daripadanya. Justeru, setiap karya kewartawanan yang menyumbang kepada peningkatan kefahaman masyarakat mengenai zakat dan wakaf berpotensi menjadi pelaburan amal yang berpanjangan,” hurainya.

Kebajikan warga media diberi perhatian

Dalam pada itu, beliau menegaskan penghargaan terhadap pengamal media merangkumi semua latar belakang agama, budaya dan bahasa yang bersama-sama memainkan peranan membina masyarakat lebih prihatin. Katanya, masyarakat yang berbilang kaum dan bersifat kosmopolitan tetap boleh disatukan melalui nilai kemanusiaan, khususnya dalam membantu golongan memerlukan.

Sehubungan itu, PPZ-MAIWP turut menyampaikan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan media bagi menyokong usaha membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu, bantuan zakat turut diserahkan secara simbolik kepada empat penerima dalam kalangan warga media yang layak, melibatkan keperluan kewangan dan perubatan termasuk rawatan kesihatan serta kaki palsu.

Pada masa sama, PPZ-MAIWP juga mengiktiraf sumbangan pengamal media yang sentiasa berusaha mencari cerita, memahami persoalan masyarakat serta memilih pendekatan terbaik untuk menyampaikan sesuatu isu dengan berkesan.

SEBAHAGIAN daripada pengamal media yang diraikan pada majlis tersebut.

“Sesungguhnya di sebalik setiap laporan dan karya kewartawanan, terselit peluang untuk menyampaikan kebenaran, menyebarkan kebaikan dan mengubah kehidupan seseorang.

Dalam majlis sama, Sinar Harian mencipta sejarah dinobatkan sebagai johan Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP 2026 melalui kategori media cetak dan portal berita.

Rencana bertajuk Bangkit Keluar Kemiskinan yang berkisar mengenai perjuangan hidup seorang asnaf menyara suami yang sakit buah pinggang kronik dan anak-anak mereka.

Beliau akhirnya berjaya keluar daripada kesempitan hidup dengan pelbagai bantuan zakat daripada PPZ-MAIWP dan ia menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk sentiasa positif serta tidak berputus asa ketika ditimpa ujian.