KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dan Grab bersetuju membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap kira-kira 600,000 rakyat yang mencari rezeki menerusi industri itu.
"Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Ini bermakna, pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan Majlis Perundingan Gig dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial bagi pekerja gig yang akan dimuktamadkan awal 2027.
Beliau berkata, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan PERKESO 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing Serta insentif itu akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja.
Selain daripada itu, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan PERKESO 70 peratus kepada lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori.
"Pelepasan cukai PERKESO diperluas meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri. Pelepasan tambahan diberikan sehingga RM150 bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
"Bagi menggalakkan simpanan persaraan oleh pemandu e-hailing dan p-hailing, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan KWSP kepada sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup," ujar Anwar.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank menyediakan RM270 juta bagi membiayai pekerja gig yang mahu berniaga dan membeli rumah pertama.
"Kerajaan akan mengawal selia sektor p-hailing secara menyeluruh di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)," katanya.