PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2027 yang dijangka memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berlepas dari Kementerian Kewangan (MoF) sekitar jam 2.55 petang, diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan pegawai- pegawai kanan kementerian.
Sebelum berangkat, doa selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam (Pengukuhan) Unit Integriti MoF, Muhamad Fierdauss Rosli bagi memohon kelancaran pembentangan belanjawan kali ini.
Belanjawan 2027 merupakan Belanjawan Madani Kelima sejak Anwar mengambil alih pentadbiran negara pada akhir 2022, selain belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pembentangan kali ini berlangsung ketika kerajaan perlu mengimbangi usaha meringankan beban rakyat dengan keperluan mengekalkan disiplin fiskal dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.
Berdasarkan Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang diterbitkan Kementerian Kewangan pada 18 Ogos lalu, kerajaan menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai panduan merangka dasar dan peruntukan tahun hadapan.
Antara bidang yang diberi perhatian adalah menangani tekanan kos sara hidup, memperkukuh perlindungan sosial, memperkasa pendidikan, kesihatan, meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti, selain memperkukuh keterjaminan makanan serta daya tahan ekonomi.
Kerajaan turut memberi penekanan kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti dan daya cipta, peralihan tenaga, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Dengan tema ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.
Tumpuan turut terarah kepada sejauh mana kerajaan dapat memastikan setiap dasar dan peruntukan yang diumumkan memberi manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dalam aspek kos sara hidup, pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti serta kesejahteraan keluarga.
Jumlah keseluruhan peruntukan Belanjawan 2027 serta langkah khusus yang bakal dilaksanakan hanya akan diketahui menerusi pembentangan rasmi Anwar di Dewan Rakyat yang akan bermula jam 3.30 petang ini.