KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau tidak percaya 15 helaian kertas yang dikemukakan sebagai bahan bukti dalam inkues kematian anaknya itu ditulis oleh remaja berkenaan.
Noraidah Lamat, 46, berkata, beliau mengenali tulisan tangan anaknya, namun tidak pernah melihat tulisan seperti yang tertera pada helaian kertas berkenaan sebelum ini.
"Saya tahu tulisan Zara, tetapi saya tidak percaya Zara yang menulis helaian kertas tersebut," katanya ketika memberi keteranganya pada Jumaat.
Ketika disoal peguam, Joan Goh sama ada beliau tidak mempercayai tulisan itu kerana tidak pernah melihat anaknya menulis kandungan berkenaan, Noraidah bersetuju bahawa beliau tidak pernah melihat Zara Qairina menulis perkara yang terkandung dalam helaian kertas Y1 hingga Y15 itu.
Noraidah juga tidak bersetuju apabila ditanya sama ada Zara Qairina berkemungkinan menulis kandungan tersebut ketika berada di asrama sekolah.
"Saya tidak tahu dan saya percaya bukan Zara yang menulis kerana saya tidak pernah nampak tulisan itu sebelum ini dan saya tidak pernah nampak Zara menulis tulisan seperti itu," katanya.
Ketika diminta menjelaskan jawapannya mengenai pemilikan tulisan pada 15 helaian kertas berkenaan, Noraidah berkata, beliau tidak dapat mengecam tulisan itu dan tidak pasti sama ada ia milik anaknya.
Beliau memberikan jawapan itu ketika ditanya sama ada beliau tidak dapat mengenal pasti tulisan berkenaan atau tidak mengetahui sama ada ia ditulis oleh Zara Qairina.
Dalam prosiding sama, Noraidah turut ditanya mengenai individu yang dikenalinya sebagai Marhamah Rosli, yang menurutnya merupakan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bayu Raudhah.
Noraidah berkata, beliau mula mengenali Marhamah menerusi media sosial Facebook sebelum wanita itu mengunjunginya di rumah kira-kira seminggu selepas kejadian menimpa anaknya.
"Saya mengenali dia melalui media sosial Facebook pada awalnya. Setelah lebih kurang seminggu kejadian anak saya Zara Qairina, beliau telah mengunjungi saya di rumah dan beliau membantu saya dalam mencari peguam," katanya.
Menurutnya lagi, selepas itu beliau sendiri berurusan dengan peguam, manakala Marhamah banyak terlibat dalam penulisan berkaitan kes berkenaan di Facebook.
"Beliau banyak terlibat dalam penulisan di Facebook, tetapi seingat saya penulisan beliau tidak ada yang berunsur negatif," katanya.
Ketika diminta menjelaskan maksud penulisan berunsur negatif, Noraidah berkata, ia merujuk kepada perbuatan menghasut orang awam.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada penulisan Marhamah di Facebook menyebabkan kes berkenaan menjadi tular, Noraidah berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.
"Itu saya tidak pasti kerana yang saya tahu pada awal kes ini sebelum saya mengenali Puan Marhamah, orang ramai sudah tahu tentang kejadian kes anak saya," katanya.