Arca emas Trump tanpa pakaian dipamer di Parlimen Eropah

Iklan
Arca setinggi 2.6 meter itu dihasilkan oleh artis Denmark, Jens Galschiøt dan dinamakan The Orange Plague.

STRASBOURG - Arca berwarna emas yang menggambarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tanpa pakaian sambil duduk di atas bahu seorang lelaki bertubuh kecil dipamerkan di bangunan Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis, dalam karya satira yang mengkritik dasar pemimpin itu.

Menurut laporan The Art Newspaper, arca setinggi 2.6 meter itu dihasilkan oleh artis Denmark, Jens Galschiøt dan dinamakan The Orange Plague.

Iklan
Iklan

Arca berkenaan menggambarkan Trump memegang neraca keadilan pada sebelah tangan dan kayu golf pada tangan lain, manakala seorang lelaki bertubuh kecil yang kelihatan lemah menanggung berat tubuhnya.

Menurut laporan itu, figura Trump disalut dengan helaian emas 23 karat, manakala figura lelaki yang menanggungnya diperbuat daripada gangsa.

Iklan

Sebuah glob sebesar bola golf turut diletakkan berhampiran kaki lelaki berkenaan.

Galschiøt berkata, karya itu diinspirasikan daripada kisah dongeng The Emperor's New Clothes oleh penulis Denmark, Hans Christian Andersen, yang mengisahkan seorang pemerintah mempercayai dirinya memakai pakaian mewah walaupun sebenarnya berbogel.

Iklan

Menurut artis itu, karya berkenaan bertujuan menyampaikan kritikan terhadap kepimpinan Trump, termasuk pendiriannya mengenai perubahan iklim dan dasar luar AS.

Laporan Euronews pada Khamis menyatakan, arca itu turut dikaitkan dengan gelaran King of Injustice, berdasarkan tulisan pada tapaknya yang menggambarkan seorang lelaki menanggung beban pemerintahnya.

Arca itu dipamerkan atas inisiatif Per Clausen, anggota Parlimen Eropah dari Denmark yang menjemput Galschiøt membawa karya berkenaan ke Strasbourg.

Menurut The Art Newspaper, pameran itu berlangsung selama tiga hari dan pengunjung serta kakitangan Parlimen Eropah diberikan replika kecil arca berkenaan yang dihasilkan menggunakan teknologi pencetakan tiga dimensi.

Galschiøt berkata, beliau menghasilkan kira-kira 20,000 replika untuk diedarkan kepada pengunjung dan kakitangan institusi berkenaan.

Laporan itu turut menyebut bahawa fail reka bentuk digital arca berkenaan disediakan secara percuma supaya orang ramai boleh mencetak replika sendiri menggunakan teknologi berkenaan.

Karya itu sebelum ini dipamerkan pada demonstrasi berkaitan Greenland di Copenhagen, Denmark dan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP30 di Belém, Brazil pada 2025.

Menurut laporan media berkenaan, Galschiøt merancang untuk mempamerkan arca itu sekali lagi pada Persidangan Perubahan Iklim PBB, COP31 di Antalya, Türkiye pada November ini.

Bagaimanapun, karya itu merupakan tafsiran satira oleh artis berkenaan dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Parlimen Eropah terhadap Trump atau pentadbirannya.