IPU tidak sihat: Semua sekolah di Melaka ditutup esok

Iklan
Rahmad - Foto SINAR HARIAN

MELAKA - Semua sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka ditutup pada Jumaat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi 150 iaitu pada tahap tidak sihat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dibuat susulan pemantauan berterusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka serta laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, penutupan itu melibatkan semua sekolah di seluruh negeri bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid, guru serta warga sekolah terjamin.

"Langkah penutupan ini dibuat demi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid, guru-guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terjamin," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Rahmad berkata, beliau turut memberi arahan selari kepada semua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan tadika untuk ditutup esok.

Katanya, JPN Melaka bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah akan terus memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa mengikut garis panduan ditetapkan KPM.

Iklan

"Sebarang maklumat terkini atau perubahan berhubung sesi persekolahan seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.

"Pihak JPN Melaka memohon kerjasama dan keprihatinan seluruh warga pendidikan serta ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa mengutamakan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh ini," katanya.